Calvin Ooi

SHAH ALAM 19 Jun – Leon Fuat Bhd (Leon Fuat), pengeluar dan pedagang produk keluli, mengkhusus di dalam produk panjang bergulung dan rata, telah meluluskan resolusi pengambilalihan kilang berharga RM28 juta pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-14 hari ini.

Leon Fuat dalam kenyataannya berkata, kelulusan tersebut diperolehi selepas para pemegang saham syarikat bersetuju meluluskan resolusi tersebut pada AGM dan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu.

“Para pemegang saham meluluskan resolusi untuk Supreme Steelmakers Sdn Bhd, subsidiari milik penuh Kumpulan, untuk mengambil alih kilang, gudang dan pejabat di atas sebidang tanah bebas pegangan di Kajang, Selangor berharga RM28 juta dari Leon Fuat,” kata Pengarah Eksekutif Leon Fuat, Shang How di sini hari ini.

Menurut Ooi, AGM dan EGM yang berlangsung secara maya itu telah membuatkan para pemegang saham mereka gembira dengan prestasi syarikat pada 2020.

Katanya, walaupun berdepan cabaran-cabaran terhadap persekitaran operasi, syarikat dapat mengekalkan perniagaan berdasarkan prestasi memuaskan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021.

“Bagaimanapun, kami terus berwaspada kerana kadar jangkitan COVID-19 masih tinggi dan tidak boleh mengenepikan kemungkinan aktiviti industri akan perlahan yang boleh menyebabkan penyusutan daripada segi permintaan ke atas produk-produk keluli. Kami akan terus mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani sebarang impak negatif sambil memantau harga keluli dan tukaran mata wang asing yang berkaitan.” ujarnya.

Dalam AGM dan EGM itu juga, antara resolusi lain yang diluluskan ialah pemilihan semula Ng Kok Teong dan Ooi Shang How, kedua-duanya dijadual bakal bersara, sebagai pengarah eksekutif di dalam lembaga pengarah kumpulan.

Selain itu, para pemegang saham mengundi juga untuk mengekalkan Chan Kee Loin sebagai pengarah bebas manakala Datuk Ng Ah Hock, Tan Did Heng dan Tan Sack Sen pula dikekalkan sebagai pengarah bebas di dalam lembaga pengarah.

Antara resolusi lain yang diundi, para pemegang saham memilih untuk melantik semula Baker Tilly Monteiro Heng PLT sebagai juruaudit kumpulan dan memberi kuasa kepada pengarah untuk menetapkan ganjaran bagi juruaudit. – MalaysiaGazette