assault accident foodpanda A group of food delivery riders are believed to have assaulted a lorry driver after an accident in Setia Alam, Shah Alam, yesterday.
A group of food delivery riders are believed to have assaulted a lorry driver after an accident in Setia Alam, Shah Alam, yesterday.

SHAH ALAM – Seorang pemandu lori dipukul sekumpulan penghantar makanan dari sebuah syarikat perkhidmatan pesanan makanan di Jalan Persiaran Setia Perdana, Setia Alam, di sini, kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, pihaknya menerima rakaman video yang tular berhubung kejadian itu susulan kemalangan jalan raya melibatkan seorang penghantar makanan dan pemandu lori terbabit.

“Video viral melibatkan sekumpulan lelaki penghantar makanan memukul seorang Melayu ekoran daripada kemalangan jalan raya terbabit.

“Dalam kejadian itu, telah berlaku kemalangan jalan raya melibatkan seorang penunggang motosikal penghantar makanan dengan sebuah lori sehingga menyebabkan pergaduhan oleh sekumpulan lelaki Melayu yang dikenal pasti sebagai penghantar makanan.

“Cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam juga turut membuka kertas siasatan berhubung kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan kejadian itu, dua penghantar makanan telah ditahan selepas dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan itu dan pihak polis kini sedang giat mengesan suspek lain yang terlibat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

“Manakala untuk kesalahan kemalangan, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak lebih daripada RM10,000 dan juga dipenjara tidak lebih 12 bulan,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan seorang penghantar makanan yang dilanggar pemandu polis terbabit, Baharuddin berkata, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan patah tangan kanan.

“Kini penghantar makanan terbabit sedang dirawat di zon kuning, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang,” jelasnya.

Baharuddin juga memaklumkan pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan jalan raya itu dan menjadi mangsa pukul dalam insiden tersebut akan membuat laporan polis di IPD Shah Alam, tengah hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan secara melulu dalam apa jua situasi yang boleh menyebabkan pelanggaran undang-undang.

“Semua pihak turut dinasihatkan agar tidak mengambil sebarang kesempatan di dalam isu ini bagi menjaga kesejahteraan awam khususnya masyarakat Shah Alam.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Kamar Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera bagi mendapatkan keputusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette