Kamarul Rizal menunjukkan tangkap layar suspek memberikan arak kepada bayinya yang tular di media sosial semalam.

BALIK PULAU – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki memberi minuman keras kepada bayinya di kawasan Teluk Bahang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, suspek berusia 19 tahun itu ditangkap pada jam 1.30 tengah hari tadi.

Kamarul Rizal.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada Mac lalu di rumah sewa suspek di Kampung Telok Awak, Teluk Bahang.

“Hasil soal siasat mendapati video berkenaan dipercayai dirakam rakan suspek dan ketika itu bayi lelaki tersebut baru berusia lima bulan.

“Semakan lanjut juga mendapati, suspek mempunyai 14 rekod lampau berkaitan jenayah dan masih dalam tempoh pengawasan pihak polis,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambah beliau, mangsa yang kini berusia sembilan bulan berada dalam keadaan sihat namun dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki memberi minuman keras kepada bayinya sendiri.

“Suspek akan direman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujar beliau.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 30 saat di media sosial menunjukkan lelaki itu memberi minuman keras kepada seorang bayi. – MalaysiaGazette