KUALA LUMPUR – Pengekalan penarafan terbitan jangka panjang Malaysia berdenominasi mata wang asing pada A- dan ringgit pada A, dengan prospek negatif oleh S&P Global Ratings (S&P) membuktikan kekukuhan kedudukan sektor luaran negara, dasar monetari yang fleksibel serta keupayaan kerajaan untuk terus menyokong kemampanan pertumbuhan dan mengekalkan daya tahan ekonomi dalam persekitaran yang tidak menentu.
Ini juga mencerminkan keyakinan S&P terhadap pentadbiran negara ketika dunia berhadapan dengan tindakan semakan semula penarafan luar jangkaan, yang mana sekitar 20% daripada negara yang diberikan prospek negatif pada akhir 2020 telah disusuli dengan tindakan penurunan penarafan oleh tiga agensi penarafan utama setakat ini, kata Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Menteri Kewangan itu berkata, prospek pertumbuhan global masih berada dalam keadaan yang tidak menentu meskipun hampir 18 bulan telah berlalu sejak pandemik Covid-19 melanda.
Varian COVID-19 baharu telah menyebabkan kes jangkitan kembali meningkat sehingga mengakibatkan pelaksanaan semula langkah pembendungan serta penangguhan pembukaan sektor ekonomi dan sosial oleh kerajaan seluruh dunia.
Rantau Asia terutamanya telah berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti peningkatan mendadak kes jangkitan, jumlah kematian yang lebih tinggi dan
akses kepada perolehan bekalan vaksin terhad, yang didominasi oleh negara maju.
Oleh yang demikian, pemulihan ekonomi dijangka berbeza bagi setiap negara dan sektor ekonomi berdasarkan tahap penularan pandemik dan sokongan fiskal negara tersebut.
Dalam menangani cabaran ini, Malaysia telah mengumumkan Pelan Pemulihan Nasional (PPN) yang merangkumi empat fasa bagi membolehkan negara bebas daripada kemelut pandemik Covid-19.
Peralihan fasa PPN adalah berpandukan kepada purata kes harian baharu, tahap penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan peratus populasi yang divaksinasi sepenuhnya. PPN membolehkan rakyat, perniagaan dan pelabur membuat perancangan sewajarnya apabila Malaysia beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.
Pelan ini memberi kepastian dan kejelasan khususnya kepada sektor ekonomi dan sosial yang akan dibenarkan beroperasi semula apabila nilai ambang tertentu dicapai.
S&P menyatakan sejak pelaksanaan fasa pertama pada 1 Jun 2021, penularan kes semakin terkawal dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, dan ekonomi Malaysia berkemungkinan besar pulih secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun 2021, hasil daripada strategi kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi secara beransur-ansur.
Sehingga kini, Malaysia berjaya mengurangkan purata kes harian baharu daripada 8,000 hingga sekitar 5,000 kes sehari dan mengekalkan nisbah kes kematian kurang dari 0.6% serta kadar penyembuhan lebih daripada 85%.
Bagi memperkukuh prospek pertumbuhan, Tengku Zafrul berkata, kerajaan telah melaksanakan beberapa pakej rangsangan dan bantuan berjumlah RM380 bilion sejak bermulanya pandemik ini, serta Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion.
Di antara langkah-langkah di bawah Belanjawan 2021 dan pakej-pakej tersebut, sekurang-kurangnya RM300 bilion jumlah peruntukan bagi pelbagai inisiatif masih dalam pelaksanaan, dan ini akan menyokong pemulihan ekonomi terutama sepanjang fasa-fasa PPN.
Pemantauan rapi oleh Agensi Pelaksanaan Ekonomi & Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) menunjukkan bahawa sebanyak RM200 bilion
telah disalurkan daripada pakej rangsangan dan bantuan ekonomi, memanfaatkan lebih 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan sejak Mac 2020.
Menurut beliau, dalam jangka sederhana, kerajaan kekal komited dalam melaksanakan pembaharuan struktur bagi meningkatkan potensi pertumbuhan ekonomi., langkah ini termasuk pelaksanaan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dan menjana peluang pekerjaan
berkemahiran serta berpendapatan tinggi.
Walaupun langkah pembendungan yang diumumkan baru-baru ini dijangka menjejaskan pertumbuhan, namun impak kepada ekonomi dijangka berkurangan seiring dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial berdasarkan peralihan fasa PPN, di samping penyesuaian pelbagai sektor perniagaan beroperasi secara digital.
Oleh itu, impak keseluruhan terhadap ekonomi dijangka lebih terkawal berbanding semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada bulan Mac 2020.
Melangkah ke hadapan, momentum pemulihan pertumbuhan ekonomi PPN dipacu oleh keberkesanan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan pencapaian sasaran nilai ambang PPN untuk pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih meluas.
Sehingga kini, Malaysia telah mencapai purata suntikan vaksinasi lebih daripada 160,000 dos sehari dan dijangka meningkat kepada 400,000 dos sehari pada bulan Ogos 2021.
Pada kadar ini, sasaran vaksinasi penuh akan dicapai bagi 60% populasi menjelang akhir Oktober tahun ini.
Di samping itu, faktor lain yang mendorong pemulihan ekonomi negara termasuk permintaan luaran yang lebih baik oleh rakan dagang utama, kepelbagaian sektor ekonomi dan pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi.
S&P mengakui bahawa sektor pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia yang maju terus berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan lonjakan permintaan global dan peningkatan teknologi baharu, seterusnya akan menyokong eksport bagi tempoh dua tahun akan datang.
Dasar Kerajaan dalam menggalakkan pendigitalan dan penggunaan teknologi juga akan membantu merangsang prospek dan daya tahan ekonomi jangka panjang, selain itu, Rancangan Malaysia Kedua Belas (2021 – 2025) merupakan asas pelan tindakan pertumbuhan mampan untuk memperkukuh keterangkuman sosioekonomi serta kelestarian alam sekitar. – MalaysiaGazette