Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah Foto HAZROL ZAINAL, 19 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Inisiatif pengurusan sebuah pusat penjagaan warga emas swasta, di sini, yang melarang ahli keluarga melawat penghuninya disifatkan sebagai langkah efektif untuk membantu kerajaan mencegah penularan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihak pengurusan pusat penjagaan warga emas itu hanya membenarkan ahli keluarga penghuni berurusan jika wujud keadaan kecemasan.

Katanya, ia adalah satu inisiatif yang baik memandangkan para penghuni yang menetap di pusat penjagaan itu semuanya berusia 70 tahun dan ke atas yang mudah terdedah dengan risiko dijangkiti virus tersebut.

“Tinjauan dan pemeriksaan kami bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat di pusat jagaan ini didapati semuanya baik dan teratur yang mana ahli keluarga tidak dibenarkan melawat penghuni tua di sini.

“Jika hendak berurusan atau berkomunikasi dengan penghuni, ia dibuat dan diuruskan oleh pengurusan pusat ini secara maya melalui video sidang atau panggilan telefon,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat penjagaan warga emas itu, di sini, hari ini.

Tambah Mohamad Zainal, ia adalah satu tindakan yang baik untuk mengurangkan pergerakan antara ahli keluarga dan penghuni pusat jagaan itu bagi mengelak kewujudan kluster atau kontak rapat.

Sementara itu beliau berkata, tujuan lawatan dan pemeriksaan ke pusat penjagaan warga emas tersebut kerana terdapat 22 kes positif pada pada bulan lalu.

Jelas Mohamad Zainal, lawatan itu juga adalah untuk memeriksa pelaksanaan prosedur operasi standard yang dilaksanakan.

“Kita sedang mempergiatkan operasi pematuhan pemantauan SOP dan lawatan ini bagi memastikan pusat jagaan orang tua ini sentiasa bekerjasama dengan KKM dan kerajaan dengan mematuhi sop yang disyaratkan kerajaan.

“Hasil pemeriksaan, kita berpuas hati dengan SOP yang dilaksanakan pusat ini selama ini berdasarkan panduan KKM khususnya berkenaan penjagaan orang tua dan seramai 140 orag tua yang ada di sini adalah berusia 70 hingga 84 tahun,” katanya.

Tambah beliau, lebih 100 kakitangan dan penghuni di pusat berkenaan akan diberi suntikan vaksin mulai Khamis ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast