Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) komited terhadap pengurusan permintaan air (WDM) yang lebih efisien dalam usaha mencapai sasaran penggunaan air domestik iaitu maksimum 160 Lkh (liter/kapita/hari) pada 2030 antaranya melalui penggunaan Produk Cekap Air secara lebih meluas bagi mengelakkan dari berlakunya krisis bekalan air pada masa depan.

Penekanan terhadap penggunaan air secara berhemat adalah amat perlu demi memastikan bekalan air bersih yang merupakan keperluan asas manusia dapat dilestarikan.

Sebagaimana bekalan air bersih mempunyai perkaitan langsung dengan sumber utamanya iaitu sungai, maka menggunakan air secara berhemat akan secara langsung membantu memulihkan ekosistem sedia ada.

Pengarah Bahagian Pembangunan dan Audit Industri, SPAN, Arni Shahrina Shaharum berkata, kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah membangunkan Pelan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia 2020-2030 (Malaysia Lestari 2030) dan salah satu daripada sasaran yang digariskan pada pelan tersebut (sasaran 6) adalah penggunaan air domestik secara cekap dan ianya dapat dicapai menerusi penggunaan Produk Cekap Air secara meluas.

Katanya, usaha itu saling berkait rapat dan ia memberi pulangan baik kepada pengguna kerana perbelanjaan dari segi bayaran bil air turut dapat dijimatkan melalui penggunaan Produk Cekap Air.

Menurut beliau, langkah yang diambil oleh SPAN berhubung perkara tersebut secara tidak langsung dapat merealisasikan matlamat ke arah Malaysia Lestari 2030 yang lebih mampan.

“Kesedaran umum berkenaan Produk Cekap Air ini masih kurang. Jika produk dengan label Cekap Tenaga bertujuan menjimatkan penggunaan elektrik, begitu jualah halnya dengan Produk Cekap Air yang bertujuan menjimatkan penggunaan air.

“Jadi, penawaran Produk Cekap Air melalui Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) yang diperkenalkan SPAN adalah antara solusi yang lebih praktikal ke arah penjimatan penggunaan air domestik yang lebih menyeluruh,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Menurut Arni Shahrina, terdapat lima jenis produk yang disenaraikan dalam Produk Cekap Air dan ia disenaraikan di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air atau dipanggil SPPCA.

Katanya, lima jenis produk itu adalah pili air, tangki tandas dwi simbahan, mangkuk buang air kecil, pancuran mandi dan mesin basuh.

Beliau menjelaskan, ketika ini penggunaan Produk Cekap Air dijadikan sebagai syarat wajib di kawasan-kawasan perumahan dan projek-projek pembangunan baharu di mana pemaju perlu memasang produk berkenaan di setiap premis dalam pembangunan mereka.

Jelasnya, perkara itu adalah tertakluk di bawah undang-undang SPAN di mana pemaju boleh dikenakan penalti tidak kurang daripada RM50,000 atau penjara tidak kurang 6 bulan jika perkara itu tidak dilaksanakan oleh mereka.

Arni Shahrina menegaskan, SPAN sememangnya serius terhadap mempromosikan penggunaan air secara berhemat (jimat air) demi kepentingan bersama untuk jangka masa panjang dan bukan pada masa sekarang sahaja.

katanya lagi, umum menyedari bahawa caj bil air mereka masih rendah atau mampu dibayar yang mungkin mendorong kepada penggunaannya secara berleluasa namun mereka perlu sedar akan potensi kesan buruk terhadap tabiat membazir air termasuk kemorosotan bekalan air bersih di masa hadapan apatahlagi apabila mengambil kira situasi pencemaran sumber yang kerapkali berlaku.

“Amnya, kita akan hanya mencari jalan untuk menjimatkan penggunaan air apabila ada gangguan bekalan, jika tiada gangguan bekalan kita akan kembali kepada tabiat biasa. Ini merupakan praktis yang perlu diperbetulkan.

“Penggunaan air secara berhemat perlu dipraktikkan setiap masa dan ini seharusnya menjadi budaya dalam sesebuah keluarga. Sebagaimana pentingnya air terhadap kehidupan kita maka penghargaan terhadap nilai air juga perlu setimpal agar generasi masa hadapan diwariskan dengan amalan pemeliharaan air bersih yang cekap dan sumber air bersih yang berkualiti.”

“Matlamat memperkenalkan SPPCA dan mempromosikan Produk Cekap Air adalah jelas dan konsisten iaitu SPAN menghargai nilai air yang sangat besar peranannya terhadap kehidupan manusia maka bagi melestraikan bekalan air bersih, langkah segera dan praktikal perlu diambil bagi melindungi mukjizat alam ini.

“Yakinlah bahawa tiada siapa mengharap kepada berlakunya krisis air, kerana implikasinya sangat besar terhadap kos dan kualiti kehidupan. Krisis air akan turut memberi kesan langsung terhadap ekonomi sesebuah negara terutama di sektor perindustrian dan pelancongan,” tambahnya.

Pelabelan SPPCA

Menyentuh mengenai SPPCA, Arni Shahrina memberitahu, skim berkenaan telah pun diperkenalkan sejak tahun 2013 dan ia adalah secara sukarela.

Ketika ini kata beliau, SPAN sedang mempromosikan pendaftaran skim itu secara percuma tanpa mengenakan sebarang caj kepada pembekal-pembekal Produk Cekap Air agar yang ingin mendaftar dan mendapatkan label SPPCA bermula Jun tahun ini sehingga Mei 2024.

Katanya, ini merupakan masa yang ideal untuk pembekal berdaftar dengan SPAN lebih-lebih lagi ketika hawa ekonomi semasa dan mereka perlu mengambil peluang ini sebaiknya.

Langkah itu adalah bagi memastikan tidak akan ada lagi produk-produk konvensional di pasaran sebaliknya hanya produk-produk cekap air dijual di kedai menjual peralatan perkakasan, katanya.

Jelasnya, SPAN perlu mengawal perkara ini kerana pengguna kebiasaannya akan memilih produk konvensional berbanding Produk Cekap Air untuk kediaman mereka berikutan kurangnya kesedaran tentang pemilihan produk yang tepat ke arah penjimatan jangka masa panjang.

Bagaimanapun Arni Shahrina memberitahu, jika penggunaan Produk Cekap Air itu diwajibkan ia bukan lagi satu pilihan sebaliknya, mereka perlu membeli dan menggunakannya juga.

Katanya lagi, walaupun menyedari bahawa produk-produk cekap air itu sedikit mahal iaitu kenaikan harga antara 20 hingga 30 peratus berbanding produk konvensional yang biasa dibeli namun, ia lebih berkualiti daripada produk biasa.

“Harga produk adalah berpadanan dengan kualitinya dan bagaimana pula SPAN memastikan kualiti Produk Cekap Air? Sebelum diberi label cekap air, SPAN mengkehendaki produk yang didaftarakan dengan kami untuk dihantar ke Badan Pensijilan seperti SIRIM, IKRAM, CIDB dan lain-lain Badan Pensijilan yang diiktiraf oleh SPAN untuk diuji sebelum boleh diberi penarafan,” jelasnya.

Pengarah Bahagian Pembangunan dan Audit Industri SPAN, Arni Shahrina Shaharum

Arni Shahrina berkata, ketika ini pembekal tidak dikenakan sebarang bayaran untuk mendaftar dan ia lebih kepada sukarela, namun pada masa akan datang ia memang akan diwajibkan.

Ujarnya, SPAN sedang memanggil pembekal-pembekal untuk mendaftar dan mereka turut mendapat pengecualian bayaran.

Pengguna juga turut diberikan insentif sebagai galakan agar mereka menggunakan Produk Cekap Air. Bagi tujuan itu katanya, SPAN akan memberikan baucar dan menerusi baucar itu mereka boleh menebusnya untuk membeli Produk Cekap Air tersebut.

Penjimatan Produk Cekap Air

Produk Cekap Air sememangnya sejenis produk yang mampu memberikan penjimatan yang sangat ketara. Ini kerana ia direka mengikut fungsi yang sesuai agar matlamatnya tercapai.

Dengan memberikan contoh Arni Shahrina berkata, penggunaan air yang banyak ketika di rumah adalah sewaktu pengguna menggunakan air semasa berada di tandas.

“Bayangkan jika pengguna menggunakan paip konvensional di rumah mereka, nisbah penggunaan air adalah lebih kurang 15 liter untuk satu minit.

“Tetapi, jika paip mereka itu menggunakan Produk Cekap Air nisbah air yang digunakan untuk satu minit boleh dijimatkan hanya lapan liter sahaja,” katanya.

Katanya lagi, penjimatan air itu bagaimanapun tidak mengganggu aktiviti harian di rumah sebaliknya ia hanya mengawal penggunaan air agar lebih menjimatkan.

Namun katanya, matlamat mahu menjimatkan penggunaan air boleh menjadi tidak tercapai sekiranya pengguna tidak mengubah sikap mereka ketika menggunakan air.

Tambahnya lagi, apa pun yang mahu dicapai oleh seseorang itu adalah bergantung kepada sikap dan dirinya sendiri kerana implikasi adalah bergantung kepada jenis tindakan yang diambil.

“Sebagai contoh jika seseorang itu menggosok gigi, dia biar saja air itu dibuka tanpa menutupnya walaupun di rumah mereka menggunakan produk cekap air. Matlamat untuk menjimatkan air sudah tentu tidak tercapai.

“Ini bermaksud, objektif penggunaan produk cekap air boleh dicapai jika ia seiring dengan sikap individu itu sendiri,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast