KUALA LUMPUR – Mangsa kes rogol melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong akan memberikan keterangan secara tertutup di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
Selain mangsa, seorang lagi saksi dijangka juga memberikan keterangan secara tertutup.
Kedua-dua saksi tersebut dilindungi di bawah bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Seksyen 265 (A) Kanun Tatacara Jenayah.
Media melaporkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed berkata, kedua-dua saksi itu tidak boleh dilihat oleh pihak pendakwa raya mahu pun peguam sebaliknya hanya mendengar keterangan mereka.
Kata Abdul Wahab kedua-dua identiti perlu dilindungi dan sebarang keputusan berdasarkan hasil daripada prosiding dijalankan.
“Nama, alamat serta gambar saksi terlindung dan tidak boleh disiarkan. Nama mangsa hanya boleh disebut di mahkamah semasa prosiding berlangsung namun identitinya tidak boleh dipaparkan kepada umum,” katanya dalam prosiding yang berlangsung dalam aplikasi Zoom hari ini.
Sebelum ini media melaporkan mahkamah memaklumkan akan membuat inkuiri terhadap kedua-dua saksi dalam kes itu sebelum membuat keputusan sama ada saksi memberi keterangan secara tertutup atau sebaliknya pada 28 Mei lepas.
Dua bulan lepas, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin memohon permohonan rasmi untuk kedua-dua saksi memberi keterangan secara tertutup tanpa dilihat oleh tertuduh.
Selain itu peguam dan proses pengecaman ke atas mereka juga dilakukan tanpa mereka dilihat oleh pihak berkenaan.
Tarikh perbicaraan kekal pada 12 hingga 16 Julai ini.
Yong pada 23 Ogos 2019 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ipoh terhadap pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia berumur 23 tahun.
Ketika insiden itu, Yong masih menjawat jawatan Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette