Seorang lelaki yang memakai 'gelang merah jambu' tanpa pelitup muka di Bentong dekat sini ketika mengisi minyak ditahan polis untuk siasatan lanjut.

PEKAN – Seorang lelaki yang memakai ‘gelang merah jambu’ tanpa pelitup muka di Bentong dekat sini ketika mengisi minyak ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Tindakan lelaki berkenaan dirakam oleh orang awam di sebuah stesen minyak di Batu 11, Bentong petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang itu tular di media sosial.

“Siasatan awal pihak polis mendapati lelaki terbabit dalam perjalanan ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bentong untuk memotong gelang pengawasan merah jambu itu.

“Bagaimanapun kereta yang dipandu lelaki terbabit dipercayai kehabisan minyak dan berhenti di stesen itu untuk mengisi minyak dan sempat dirakam oleh orang awam gelagatnya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Jelas Zaiham, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, perbuatan cuai yang mungkin merebakkan kejangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Sesiapa yang melanggar, mana-mana peruntukan peraturan-peraturan ini atau mana-mana arahan Ketua Pengarah atau seseorang pegawai diberi kuasa melakukan suatu kesalahan dan boleh disabitkan akan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-keduanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), khususnya dalam pemakaian pelitup mulut dan hidung di tempat awam serta menjaga penjarakan fizikal,” katanya.

Dalam pada itu, sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang bertentangan dengan SOP boleh disalurkan kepada Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. -MalaysiaGazette