Suasana di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 05 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tiada perancangan untuk menjual mana-mana hartanah lapangan terbang di Malaysia, termasuk Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) kepada mana-mana pihak.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, hartanah lapangan terbang dianggap aset strategik kerajaan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) masih memiliki pajakan selama 60 tahun, iaitu sehingga tahun 2067, ke atas tanah di mana terletaknya LTSAAS buat masa ini.

Kata kenyataan itu lagi, LTSAAS merupakan salah satu daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB selaras dengan perjanjian operasi di antara Kerajaan dan MAHB yang dimeterai pada tahun 2009.

“MAHB bukan pemilik mana-mana hartanah lapangan terbang tersebut sebaliknya berperanan sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aset sekitar LTSAAS.

Sebahagian tanah LTSAAS juga telah dipajakkan (sub- leased) oleh MAHB kepada Subang Skypark Sdn Bhd bagi tempoh 30 tahun (2007-2037), merangkumi pengendalian Terminal 3, tempat letak kereta dan hangarage.

“Sebarang usaha untuk memaksimumkan nilai aset LTSAAS tidak akan melibatkan penjualan hartanah,” kata kenyataan itu lagi.

Artikel berkaitan:

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan berita palsu dan khabar angin mengenai perkara itu.

Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pihak-pihak yang berbuat demikian.

Baru-baru ini, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dikatakan sudah mengemukakan pelan rancangan strategi komprehensif bagi pembangunan jangka masa panjang LTSAAS kepada kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, menjelaskan bahawa rancangan itu akan dilaksanakan berdasarkan kepada penanda aras dan pembabitan pihak berkepentingan dan turut dipantau oleh badan bebas.

Bulan lalu, ahli perniagaan, Tan Sri Desmond Lim dikatakan merancang untuk mengambilalih LTSAAS Subang membabitkan nilai RM3.7 bilion.

Desmond yang juga pemegang saham terbesar dalam syarikat hartanah dan pembinaan, WCT Holdings Bhd dilaporkan menggunakan anak syarikatnya, Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) untuk mengambilalih dan mengendalikan lapangan terbang itu hingga 2092.-