KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipilih sebagai universiti rasmi dalam
menghimpunkan pemain industri kecil dan sederhana (IKS) Sabah oleh Persatuan Pendidikan Masa Depan Antarabangsa (IFEA) bagi menjayakan aktiviti perkongsian ilmu dan peluang perniagaan halal di Sabah.

Memilih sepenuhnya aktiviti perkongsian ilmu menerusi platform secara dalam talian Seminar sehari yang bertajuk Tinjauan Pasaran Halal di Sabah untuk Industri Kecil dan Sederhana dan Cara Memohon Pensijilan Halal merupakan anjuran bersama IFEA dan JL Longmai Resource Sdn Bhd.

Seminar ini dianjurkan secara percuma yang membincangkan enam topik iaitu Peluang
Pasaran Halal di Malaysia dan global; Sijil MeSTI, HACCP dan GMP di Malaysia; Memahami
Pensijilan Halal dan Prosedur Permohonan; Bersediakah Sabah Memainkan Peranan di
peringkat global dalam Hub Halal?; Standard Makanan Halal Malaysia dan Kebolehkesanan Industri Makanan Halal dan Isu Umum Halal.

Syarikat-syarikat tempatan dan asing termasuk penggiat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dipelawa untuk memanfaatkan standard Halal Malaysia untuk memperluaskan akses pasaran produk masing-masing.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, industri Halal telah menjadi sektor pertumbuhan baru yang mempunyai potensi besar bagi ekonomi negara.

“Peluang perniagaan tidak hanya terbatas kepada sektor  makanan dan bukan makanan
tetapi mencakupi sektor perkhidmatan seperti kewangan dan perbankan, insuran,
pendidikan, latihan, penyelidikan, konsultasi, logistik, penjagaan kesihatan dan pelancongan.

“Sabah berpotensi untuk menjadi destinasi utama khususnya dalam industri pelancongan
Halal kerana kita mempunyai banyak tarikan semula jadi serta terkenal dengan keramahanpenduduk tempatan.

”Apatah lagi kedudukan wilayah ini yang terletak di tengah-tengah laluan Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Philippines (BIMP-EAGA),” katanya ketika merasmikan Seminar Tinjauan Pasaran Halal di Sabah untuk Industri Kecil dan Sederhana dan Cara Memohon Persijilan Halal

Menurut Mohd Arifin, peningkatan kemakmuran umat Islam di seluruh dunia, dan juga
peningkatan kesedaran terhadap Halal telah mewujudkan permintaan yang tinggi untuk
produk dan perkhidmatan ini.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin dalam
ucapannya memaklumkan, Sabah merupakan penyumbang kedua terbesar dalam ekonomi Halal di Malaysia.

Bagi membantu komuniti mendalami industri Halal, UMS melalui Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) turut menyediakan kursus kesedaran halal, kursus eksekutif halal, konsultasi permohonan pensijilan halal oleh Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan. – MalaysiaGazette