PUTRAJAYA – Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim dilantik Timbalan Ketua Polis Negara berkuatkuasa hari ini.
Pelantikan itu diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.
Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara kosong selepas penyandangnya, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah dilantik sebagai Ketua Polis Negara bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang bersara.
ARTIKEL BERKAITAN:
Bekas Ketua Polis Kelantan itu diangkat kepada jawatan itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyididn Yassin.
“Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) telah memperkenan pelantikan YBhg. Datuk Seri Mazlan Lazim sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu berkuatkuasa mulai 25 Jun 2021,” katanya lagi.
Mazlan Lazim, 59 tahun diangkat menjadi Timbalan Ketua Polis Negara ke 27. – MalaysiaGazette