Pasukan penyelamat mengangkat mayat salah seorang mangsa lemas selepas terjatuh di dalam longkang berhampiran Masjid Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor, petang tadi.

JOHOR BAHRU – Niat murni seorang lelaki berusia 32 tahun yang cuba menyelamatkan dua kanak-kanak yang terjatuh dalam longkang berhampiran Masjid Taman Cendana, Pasir Gudang, di sini, berakhir dengan lelaki berkenaan lemas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak yang mengesahkan kejadian itu memberitahu,
kejadian berlaku pada pukul 4.12 petang tadi yang mana mangsa ditemui mati lemas bersama seorang remaja lelaki berusia 13 tahun.

Seorang lagi mangsa berusia 9 tahun masih lagi hilang, ujarnya.

“Anggota DCC Seri Alam, terima panggilan dari Mers 999 di mana pengadu telah memaklumkan terdapat tiga orang telah jatuh longkang dihanyutkan air berhampiran Masjid Taman Cendana, Pasir Gudang.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila dua orang kanak-kanak yang bermain di longkang telah terjatuh dan dibawa air deras dan seorang orang awam yang berada di tempat kejadian telah cuba menyelamat kanak-kanak tersebut dikatakan telah terjun dan cuba menyelamat mangsa tetapi turut dibawa arus berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, longkang berkenaan dianggarkan sedalam dua meter.

“Operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa terus digerakkan dan sehingga pukul 6 petang hari ini, dua mangsa telah ditemui,” katanya. – Malaysiagazette