Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya menarik pelaburan sehingga RM16 bilion untuk tahun ini.

KUALA LUMPUR – Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya menarik pelaburan sehingga RM16 bilion untuk tahun ini.

Malah, ia turut berkeupayaan bagi mewujudkan sebanyak 19,652 peluang pekerjaan.

Pengumuman pelaburan itu dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Ke-26 yang diadakan secara maya dengan disaksikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Dalam mesyuarat itu, Muhyiddin menyaksikan lapan syarikat yang menyatakan komitmen pelaburan berimpak tinggi di Semenanjung iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis.

Dalam satu kenyataan NCIA memaklumkan, pelaburan yang diterima merupakan kerjasama antara NCIA, Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ia adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan pada 15 Jun lalu.

Pelaburan yang diperoleh itu adalah bukti kejayaan agensi berkenaan dalam membina ekosistem berdaya tahan yang mendorong pemulihan era pasca pandemik Covid-19 dan pada masa sama, menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada rakyat.

Pihak NCIA pada mesyuarat itu juga membuat pembentangan berhubung perkembangan terkini projek sosioekonomi seperti pelan pemulihan Covid-19 dan juga pelaksanaan program modal insan yang bertumpu kepada pembangunan rakyat di NCER. – MalaysiaGazette