Presiden Nasional Parti GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada keluarga B40 yang telah membuat permohonan pada Program Kasih Kenyang ketika di The Boulevard Shop Office, Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan terus membantu golongan B40 yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Menerusi Program Kasih Kenyang parti itu menyasarkan untuk menyalurkan bantuan kepada 10,000 isi rumah B40 dengan bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk syarikat swasta serta individu.

Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya tidak menyangka sambutan cukup menggalakan diterima dalam masa beberapa hari sahaja dilancarkan sama ada melalui jentera parti selain maklumat orang ramai.

Malah katanya, ramai orang yang layak dan terjejas telah memohon untuk bantuan makanan asas dalam bentuk bakul makanan bagi kegunaan ketika musim pandemik ini.

“Ramai juga dalam masa memohon, memang ramai yang sedang mengalami keadaan dan penderitaan yang cukup sukar pada masa ini. Memang golongan B40 ini memerlukan bantuan pada masa ‘total lockdown’ ini.

“Selepas 12 hari pengumuman kita lancarkan inisiatif Program Kasih Kenyang ini, kita sudah mendapat 10,000 isi rumah seluruh negara. Jentera kita juga sedang aktif di 148 bahagian yang telah dikenalpasti,” katanya selepas menyerahkan bakul makanan kepada 71 keluarga dan induvidu B40 sekitar kawasan parlimen Batu, di sini, hari ini.

Tambah beliau, parti itu memecah tradisi dengan menyampaikan bantuan kepada individu berbanding menyalurkan bantuan melalui persatuan penduduk sebelum ini.

Presiden Nasional Parti GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai memeriksa barang sumbangan semasa hadir penyerahan sumbangan bakul makanan kepada keluarga B40 yang telah membuat permohonan pada Program Kasih Kenyang ketika di The Boulevard Shop Office, Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 JUN 2021.

Sementara itu, Dominic berkata, parti itu mengalu-alukan pihak yang mahu menyumbang dalam program tersebut.

“Badan bukan kerajaan, persatuan dan pihak yang ingin memberikan sumbangan dalam bentuk makanan, keperluan, serta wang bagi program ini juga, boleh menghubungi kami selepas ini. Ramai yang memerlukan pada masa ini.

“Kita juga harap lebih ramai tampil memberikan bantuan dan sumbangan kepada golongan memerlukan pada masa pandemik ini, kita semua bantu satu sama lain. Kepada yang mampu, kita bantu yang memerlukan pada masa ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette