KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai bahagian perolehan di sebuah kementerian kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM150,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan projek bernilai RM2.6 juta.

Menurut sumber, kes itu merupakan susulan siasatan yang dilakukan terhadap penolong setiausaha bahagian kementerian terbabit dan pemilik  serta pengurus syarikat yang telah ditahan sejak 21 Jun lalu.

“Hasil siasatan ini telah berjaya membongkar kegiatan sindiket ini yang dipercayai telah membolot 22 projek berjumlah RM135 juta di kementerian tersebut sejak 2017 hingga kini. Ini termasuk projek berkaitan penahanan suspek hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah sumber itu, sindiket tersebut juga dipercayai mengupah pihak lain pula untuk mengendalikan projek-projek terbabit.

Katanya, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 Jun untuk siasatan lanjut, ujarnya.

Kata sumber itu, perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas suruhanjaya itu membuat permohonan pada pagi ini.

Tambah sumber tersebut, bagi projek bernilai kira-kira RM2.6 juta tersebut, ia merupakan projek pembekalan kelengkapan menyelam bagi sebuah agensi penguatkuasa.

Pada 21 Jun lalu, empat pemilik syarikat kejuruteraan marin direman SPRM kerana disyaki memberi rasuah bagi tujuan mendapatkan projek pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan marin di agensi penguatkuasa sama yang dianggarkan berjumlah RM10 juta.

Susulan itu, seorang penolong setiausaha bahagian kementerian telah ditahan pada keesokan harinya dan diikuti penahanan seorang pengurus syarikat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast