Pihak polis melakukan pemeriksaan pematuhan SOP di sebuah kilang pembuatan di Mak Mandin di sini hari ini.

BUTERWORTH – Gagal melaksanakan tanggungjawab dalam memastikan pekerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan dua majikan termasuk pemilik sebuah kilang di kawasan Perindustrian Mak Mandin dikompaun RM20,000 hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) susulan Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari itu sebanyak empat kilang serta syarikat  diperiksa sebelum dua daripadanya dikesan melanggar SOP ditetapkan.

Noorzainy.

Katanya, pemilik kilang pembuatan dan syarikat pengangkutan logistik itu masing-masing dikompaun RM10,000 kerana gagal memastikan pekerjanya mematuhi SOP.

Jelas beliau, pemilik syarikat pengangkutan logistik dikompaun susulan pekerjanya tidak memakai pelitup manakala kilang pula gagal memastikan pekerja imbas QR kod MySejahtera.

“Selain majikan, kita turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM6,000 ke atas empat pekerja syarikat pengangkutan logistik kerana tidak memakai pelitup muka.

Pihak polis menjalankan pemeriksaan di sebuah syarikat pengangkutan logistik di Mak Mandin, Butterworth hari ini.

“Secara keseluruhan kompaun berkaitan SOP berjumlah RM26,000 dikeluarkan dalam operasi hari ini.

“Dalam operasi yang sama, Majlis Bandaraya Seberang Perai mengeluarkan kompaun ke atas dua kilang yang tidak mempunyai lesen gudang serta pejabat,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di lokasi operasi hari ini.

Noorzainy (kanan) ketika melakukan pemeriksaan di sebuah kilang kacang di Mak Mandin hari ini.

Mengulas lanjut, Noorzainy berkata, majikan perlu bertanggungjawab untuk memastikan setiap pekerja mematuhi SOP.

“Perkara paling asas buat majikan adalah memastikan pekerja imbas QR kod MySejahtera, ini kerana kerana kita tidak mahu menyukarkan pihak lain untuk mengesan kontak rapat sekiranya berlaku kes penularan Covid-19.

“Tambahan pula, kawasan Mak Mandin ini merupakan hot spot, jadi kena beri lebih penekanan dalam pematuhan SOP agar rantaian Covid-19 dapat diputuskan,” ujar beliau.

Polis melakukan pemeriksaan SOP di kilang kacang di Mak Mandin di sini hari ini.

Tambah Noorzainy, pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan ke semua kilang, premis yang dibenarkan beroperasi untuk memastikan semua SOP ditetapkan dipatuhi. – MalaysiaGazette