Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia kini lebih menggalakkan kemasukan pelaburan secara selektif ke dalam negara bagi mencapai status berpendapatan tinggi sejajar dengan dasar pelaburan baharu untuk menarik lebih ramai pelabur berkualiti tinggi semasa dan selepas tempoh pandemik COVID-19.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia bertepatan dengan dasar baharu, Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), yang akan menjana pekerjaan berpendapatan tinggi, terutama pada pasca-COVID-19 dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Selepas perbincangan dan libat urus bersama Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia pada Mac lalu, kami berpendapat inilah masa yang sesuai untuk memperkenalkan dasar ini.

“Tujuannya adalah menarik pelaburan berkualiti tinggi dan berteknologi agar negara kita boleh bersedia dengan tenaga kerja yang memenuhi permintaan industri dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasminya pada Sabtu.

Beliau berkata pada masa sama, Bank Dunia turut mengunjurkan Malaysia mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mohamed Azmin berkata ia dapat dibuktikan dengan kemasukan pelaburan berteknologi canggih dan berkualiti tinggi, iaitu SK Nexilis dengan nilai pelaburan berjumlah RM4.24 bilion (Sabah) dan AT&S pula komited dengan nilai pelaburan sebanyak RM8.5 bilion (Kedah).

Beliau berkata SK Nexilis akan menghasilkan kerajang tembaga untuk kenderaan elektrik (EV) yang menggunakan teknologi terkini manakala syarikat AT&S pula akan mengeluarkan papan litar bercetak (PCB) dan substrat litar bersepadu (IC) berteknologi tinggi.

Syarikat berkenaan masing-masing akan menciptakan 5,000 peluang pekerjaan yang berkualiti, katanya.

Beliau berkata kerajaan amat komited dalam membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat, terutama pada pasca-COVID-19.

“Namun, untuk merealisasikannya, kita memerlukan ketekunan dan keterbukaan untuk mencapai pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

“Saya berharap dengan adanya dasar baharu ini ia akan kekal menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dunia,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast