BUTTERWORTH – Seorang pemandu lori terpaksa menerima 36 jahitan pada lengan kanannya akibat dilibas parang oleh rakannya dalam satu kejadian di Taman Cantik di sini semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa berusia 31 tahun itu dicederakan suspek berusia 39 tahun menggunakan sebilah parang berukuran 40 sentimeter.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya mengetahui kejadian itu susulan mangsa datang ke Balai Polis Butterworth dalam keadaan berlumuran darah sebelum dia dikejarkan ke hospital.

Noorzainy.

Kata beliau, hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku selepas mangsa terserempak dengan suspek yang juga rakannya sebelum  dia bertanya apa yang mangsa mahukan.

“Mangsa menjawab dia tidak mahu apa-apa sebelum dia tiba-tiba dipukul menggunakan topi keledar. Susulan itu, mangsa segera beredar dengan menunggang motosikalnya.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan Taman Cantik suspek bertindak melanggar motosikal mangsa dari belakang dengan motosikal ditungganginya sebelum mengeluarkan sebilah parang dan melibas sehingga terkena pada lengan kanan mangsa.

Polis rampas parang digunakan suspek untuk mencederakan rakannya di Taman Cantik, Butterworth semalam.

“Mangsa terus memecut motosikal menuju ke balai polis bagi menyelamatkan dirinya dan dia terpaksa menerima 37 jahitan akibat kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Noorzainy berkata, bertindak atas risikan pihak polis menahan suspek di Taman Cantik pada jam 3 petang selain merampas parang yang digunakan untuk mencederakan mangsa.

“Punca kejadian tidak dapat dikenalpasti kerana mangsa tidak tahu dan dia tiada masalah dengan suspek serta hanya syak suspek adalah penagih dadah.

Suspek ditahan di lokasi kejadian semalam.

“Selain itu, semakan juga mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

“Suspek direman selama lima hari sehingga 30 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” kata beliau. – MalaysiaGazette