Pintu masuk ke Pusat pemulihan untuk penagih dadah di PUSPEN Serendah, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

HULU SELANGOR – Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Itu tekad para penagih yang menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Puspen dekat Serendah, Selangor.

Masing-masing yang ditemui MalaysiaGazette mengaku insaf di atas perbuatan lalu ekoran kesilapan memilih jalan hidup hingga membawa kesengsaraan berpanjangan.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, beberapa penagih yang sedang menjalani rawatan di situ bukan sahaja menderita akibat ketagihan dadah sebaliknya, ada dalam kalangan mereka positif HIV.

Seorang penghuni pusat berkenaan yang hanya mahu dikenali dengan panggilan Edy, 44, tidak menyangka berkongsi jarum suntikan dengan rakan-rakannya ketika menagih menyebabkan dirinya kini hampir dengan kematian.

Penghuni, Edy bukan nama sebenar di temu ramah mengenai kisah hidup selain nasihat untuk tidak terjebak dengan penyalahguna dadah ketika di PUSPEN Serendah, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

Katanya, disebabkan kurang pendedahan terhadap risiko, dia akhirnya terpaksa menerima hakikat dirinya tidak lagi sihat seperti sediakala.

Menceritakan pengalaman hidupnya berdamping dengan najis dadah lebih 20 tahun lalu, Edy memberitahu, semuanya bermula ketika dia masih dibangku sekolah peringkat menengah.

Keinginannya ketika itu adalah sekadar mahu menikmati hidup bebas dengan mencuba rasa khayal melalui pengambilan ganja.

Dia kemudian beralih mencuba dadah sintetik yang dikatakan boleh memberi kesan khayal yang lebih kuat sehingga menimbulkan rasa seronok.

Penghuni, Edy bukan nama sebenar di temu ramah mengenai kisah hidup selain nasihat untuk tidak terjebak dengan penyalahguna dadah ketika di PUSPEN Serendah, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

Semua itu berlaku akibat daripada pengaruh rakan-rakannya hingga dia sendiri tidak menyangka akan terjebak ke lembah kebinasaan.

“Dalam keluarga tidak ada yang hisap dadah melainkan saya seorang. Selepas tamat sekolah saya dulu hanya bekerja sebagai buruh dan bertani di kampung saya di Kota Tinggi, Johor.

“Kehidupan di luar memang sangat mencabar lebih-lebih lagi jika bertemu dengan kawan-kawan yang sama menagih seperti saya,” katanya yang merupakan anak kedua daripada lima adik beradik ketika ditemui di pusat berkenaan sempena Hari Antidadah Antarabangsa (HADA 2021) yang disambut hari ini.

Edy memberitahu, dia membelanjakan sebanyak RM50 sehari hanya semata-mata untuk membeli stok dadah.

Bagaimanapun, jika tidak mempunyai wang, dia sanggup berhutang dengan pembekal asalkan bekalan sentiasa ada.

Bagaimanapun, Edy berkata, langit tidak semestinya cerah dan akhirnya dia ditangkap oleh pihak berkuasa beberapa kali serta pernah dibicarakan di mahkamah.

Namun, akibat ketagihan yang melampau, dia kembali ke tabiat asal hinggalah mendapat tahu dirinya kini merupakan penghidap HIV.

Menurut Edy, dia yang dimasukkan ke pusat pemulihan itu sejak 10 bulan lalu meletakkan azam yang tinggi untuk berubah kerana tidak mahu mengecewakan lagi kedua ibu bapa dan adik beradiknya yang lain.

Pintu masuk ke Pusat pemulihan untuk penagih dadah di PUSPEN Serendah, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

Di pusat pemulihan itu, Edy mencuba sedaya upaya untuk memperbaiki dirinya agar tidak lagi kembali lagi menjadi tahi dadah sejurus dia dibebaskan kelak.

Dia berjanji tidak akan terlibat lagi dengan penyalahgunaan najis itu serta menerima apa sahaja kritikan daripada masyarakat ekoran kesilapan dirinya sendiri.

Tambahnya, dia telah menyucikan jiwa dan mahu kembali kepangkuan masyarakat dengan menjalani kehidupan normal meskipun sebagai seorang penghidap HIV.

Begitu juga dengan rakannya yang dikenali dengan panggilan Mi, 48, merupakan seorang lagi penghuni di pusat berkenaan yang sedang menjalani rawatan pemulihan selepas terlibat dengan penyalahgunaan dadah jenis heroin lebih 25 tahun lalu.

Penghuni, Mi bukan nama sebenar di temu ramah mengenai kisah hidup selain nasihat untuk tidak terjebak dengan penyalahguna dadah ketika di PUSPEN Serendah, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

Bapa kepada dua orang anak itu mengakui benar-benar insaf daripada jalan hidupnya dan mengakui sedar akan kesilapan besar yang pernah dilakukan.

Dia yang turut disahkan positif HIV memberitahu, sering mengabdikan dirinya kepada ilahi kerana menyedari usianya mungkin tidak panjang.

Katanya, dia terlalu kasihan kepada isteri dan anak-anaknya yang telah beberapa kali memberikan peluang untuk berubah namun, segala janjinya itu hanya disia-siakan.

Menurutnya, menerusi rawatan yang diterima di pusat pemulihan itu, dia berazam untuk berubah dan kembali kepangkuan masyarakat meskipun menyedari akan menerima cemuhan terutama daripada orang yang mengenali dirinya.

Berkongsi pengalaman tentang rawatan pemulihan yang diperoleh di pusat berkenaan, Mi berkata, dia diajar tentang cara-cara untuk mendekatkan diri kepada tuhan menerusi kelas-kelas agama.

Katanya, di pusat itu juga dia diajar cara yang betul dalam menunaikan solat serta diajar menghafal surah-surah dan memperbetul bacaan kitab suci al-Quran.

Penghuni mengikuti kelas pemulihan akhlak ketika di PUSPEN Serendah, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

Ujarnya, turut diajar di pusat pemulihan itu adalah ciri-ciri terapi kekeluargaan serta dilatih untuk mendisplinkan diri serta berinteraksi dengan orang ramai selepas keluar daripada pusat tersebut kelak.

Mi bersyukur kerana dia diberi latihan kemahiran menjahit yang boleh digunakan apabila dibebaskan nanti.

Dia memberitahu, di pusat pemulihan itu terdapat 14 jenis kemahiran yang boleh dipelajari dan dia memilih untuk mempelajari kemahiran menjahit kerana lebih berminat untuk dijadikan kerjaya baharunya.

“Saya nak pesan jaga dan pantau anak-anak sebab golongan remaja ini mudah terpengaruh dengan kawan-kawan..mereka senang terjebak.

Penghuni, Mi bukan nama sebenar berjalan di sekitar kawasan tempat pemulihan semasa di temu ramah mengenai kisah hidup selain nasihat untuk tidak terjebak dengan penyalahguna dadah ketika di PUSPEN Serendah, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

“Saya juga pesan kepada kawan-kawan yang sama-sama menagih, berubahlah, kita ini hanya tunggu masa sahaja mahu meninggal dunia,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast