Insiden yang tular di media sosial bukan kes culik.

KUALA LUMPUR – Tiada elemen penculikan melibatkan kes tular di media sosial kononnya seorang remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU), dibawa lari seorang lelaki tidak dikenali dengan menaiki kereta di Bandar Country Homes, Rawang, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata, hasil siasatan lanjut sebaliknya mendapati remaja OKU berumur 16 tahun itu, bertindak menahan sebuah kenderaan yang melalui kawasan itu, semasa dia berjalan seorang diri tanpa pengetahuan ibunya.

Beliau berkata, semasa kejadian 9 pagi tadi, ibu mangsa sedang membeli sarapan dan sebuah kereta dipandu seorang lelaki warga emas berumur 80 tahun telah berhenti, sebelum membenarkan remaja OKU itu menaiki kenderaannya.

“Lelaki terbabit membenarkan remaja berkenaan berbuat demikian kerana beranggapan dia meminta pertolongan.

“Ibu mangsa berumur 54 tahun yang kemudiannya menyedari ketiadaan anaknya lantas bertanya kepada peniaga di kawasan berhampiran, sebelum dimaklumkan anaknya telah mengikut seorang lelaki dengan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kelabu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Zainal Mohamed berkata, hasil siasatan awal mendapati seorang kenalan kepada ibu remaja itu telah memuat naik kejadian yang berlaku itu di beberapa kumpulan WhatsApp, sehingga kereta yang membawa anaknya berjaya ditemui orang awam di Saujana Rawang, pada kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

“Ibu mangsa bagaimanapun mendapati anaknya dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kecederaan berlaku.

“Hasil siasatan lanjut mendapati lelaki yang didakwa melarikan remaja itu, tidak pasti arah tuju hendak membawa remaja itu, kerana dia hanya mendiamkan diri sehinggalah kereta lelaki berkenaan ditahan beberapa orang awam di sekitar Saujana Rawang,” katanya.

Beliau berkata siasatan kes ini tidak ada kaitan denga kes culik dan ibu mangsa yang membuat laporan polis kes itu, telah menarik kembali laporan polis yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai kes Orang Hilang.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast