BAYAN LEPAS – Seorang lelaki mempunyai 22 rekod jenayah lampau ditembak mati di Jalan Air Terjun, Kampung Bukit di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, polis melepaskan dua das tembakan selepas  suspek berusia 34 tahun itu menyerang anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Barat Daya menggunakan sebilah parang.

Akibat tembakan tersebut suspek yang tidak bekerja itu rebah dan disahkan meninggal dunia kira-kira 30 meter dari pondok yang juga tempat tinggalnya.

Pihak forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian seorang lelaki mati ditembak.

Difahamkan, mangsa tinggal di dalam kawasan hutan itu bagi mengelakkan dikesan pihak polis susulan melakukan kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah Barat Daya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek bertindak menyerang anggota polis sebaik menyedari kehadiran polis.

Katanya, walaupun memperkenalkan diri sebagai polis suspek masih menyerang hingga menyebabkan kecederaan pada lengan kanan salah seorang anggota.

Jelas beliau, bagi mempertahankan diri anggota terpaksa melepaskan dua das tembakan sebelum terkena pada anggota badan suspek.

Kamarul Rizal (tengah).

“Anggota di lokasi kejadian menghubungi ambulans bagi memberikan bantuan awal bagaimanapun pegawai kesihatan tiba di lokasi mengesahkan suspek meninggal dunia.

“Dalam kejadian itu kita merampas sebilah parang, pemutar skru dalam milikannya manakala peralatan menghisap dadah dalam pondok didiaminya.

“Suspek dikesan sejak sebulan lalu bagi membantu siasatan atas pelbagai kes termasuk kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pagi tadi.

Mayat suspek dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

Tambah Kamarul Rizal, hasil semakan mendapati suspek mempunyai 22 rekod lampau termasuk dikehendaki polis membabitkan kes samun dan narkotik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette