Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Kamarul Baharin Mansor (tengah). Foto SHAFIY ZUL, 23 FEBRUARI 2021

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membantah cadangan Kementerian Kewangan untuk membenarkan pengeluaran i-Sinar 2.0 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, perkara itu tidak dibincangkan dengan pihak berkepentingan sepertu MTUC dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dalam isu yang melibatkan simpanan pekerja hari tua.

Menurutnya, tugas dan tanggungjawab kerajaan adalah untuk mencari dana bagi membantu pekerja dan kerajaan tidak boleh mengambil langkah mudah dengan mengambil simpanan hari tua pekerja.

“Jangan usik duit simpanan pekerja bagi menunjukkan bahawa bantuan telah diberikan…kerajaan mengambil kredit ke atas simpanan pekerja sedangkan itu adalah simpanan hari tua pekerja,” tegasnya menerusi kenyataan hari ini.

Artikel berkaitan: Kerajaan akan umum moratorium, i-Sinar

Kamarul Baharin berkata, pekerja telah berkorban untuk menggunakan duit tersebut dan telah membantu merancakkan ekonomi negara melalui Program i-Lestari 1.0 dan I-Sinar 1.0 sebelum ini.

Ujarnya, kerajaan seharusnya bertanggungjawab untuk membantu menambah tabung simpanan pekerja dengan memberi pelbagai insentif bagi membolehkan pekerja bersara dengan tenang dan selesa.

Tambahnya, MTUC tidak mahu kejadian pesara berada di bawah jambatan atau tiada tempat tinggal berulang kembali, sebaliknya kerajaan harus mengambil iktibar daripada kejadian tersebut.

Artikel berkaitan: Bekas Pengaman PBB dan Keluarga Berteduh di Rumah Transit

Dalam pada itu, Kamarul Baharin mendesak kerajaan supaya memberikan bantuan kepada golongan B40 dan M40 sebanyak RM1200 sebulan dengan dencari sumber lain bagi tujuan tersebut.

MTUC juga katanya, turut mendesak moratorium automatik selama enam bulan diberikan kepada seluruh rakyat kerana pemberiannya menerusi moratorium 1.0 telah berjaya membantu pekerja.

“Keuntungan bank masih baik dan ini adalah indikasi yang membolehkan bank wajar memberikan moratorium automatik 2.0.

“Kerajaan perlu memberi tekanan kepada bank-bank untuk bersama-sama berkongsi keuntungan dengan pelaksanaan moratorium automatik ini,” ujarnya.

Tegas Kamarul Baharin lagi, pihaknya juga menggesa agar KWSP melantik wakil MTUC dalam Ahli Lembaga Pengarah KWSP yang akan bertindak bagi menjaga kepentingan simpanan pekerja.

Katanya, sehingga kini MTUC telah meghantar tiga surat kepada Kementerian Kewangan bagi maksud tersebut dan MTUC tiada pilihan lain melainkan melaporkan kepada ILO (Pertubuhan Buruh Antarabangsa) dan mengambil tindakan yang sewajarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Letih la dgn MTUC ni..biarlah duit KWSP kami dikeluarkan apa hak korg nk tahan duit kami..korg kerja kerajaan blh la gaji tetap ada kami ni mcmna pulak..‍♂️

Comments are closed.