Tiga suspek bersenjata parang menyamun kakitangan sebuah klinik pergigian di Taman Melati Wangsa Maju dalam kejadian 6.30 petang semalam sebelum dua daripadanya dicekup manakala dua lagi rakannya sedang diburu polis.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu dua lagi suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjata parang membabitkan sekumpulan empat penjenayah di sebuah klinik pergigian di ibu negara semalam.

Dua lagi suspek sudah ditahan, kata Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah.

Samun berkumpulan itu berlaku di klinik pergigian swasta di Taman Melati di sini pukul 6.30 petang dan video insiden itu tular di media sosial sebelum polis berjaya mengesan dua daripada suspek pada hari ini.

Suspek pertama dalam kejadian samun bersenjata parang di sebuha klinik pergigian di Taman Melati Wangsa Maju turun dari kereta proton Saga sebelum memasuki klinik untuk menyamun semalam.

“Dalam kejadian ini, suspek merupakan tiga lelaki yang bersenjata parang telah masuk ke premis dengan menyamar sebagai pelanggan.

“Suspek telah mengambil beberapa barang berharga milik mangsa dan klinik sebelum melarikan diri dan mangsa di klinik itu telah mengalami kerugian lebih kurang RM10,000 dalam kejadian ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ashari, polis telah membuka kertas siasatan bertindak maklumat kejadian itu dan disiasat di bawah Sekyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

Kejadian samun itu telah dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut.

Ujarnya, polis telah menjalankan siasatan serta risikan dan telah berjaya mengesan kedudukan suspek.

“Dalam tempoh empat jam sahaja selepas kejadian, polis telah berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 30 dan 32 tahun di sekitar Wangsa Maju kerana disyaki terlibat dalam samun itu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek berjaya merampas kereta serta sebilah parang yang disyaki digunakan dalam kejadian tersebut.

“Hasil semakan, kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah dan mereka sudah direman selama enam hari untuk membantu siasatan.

“Dalam pada itu pihak polis masih berusaha untuk mengesan serta memburu dua lagi rakan sejenayah kedua-dua suspek itu yang masih bebas di luar,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Mengikut dua video yang tular, mendapati tiga suspek turun dari sebuah kereta Proton Saga sebelum menuju ke pintu masuk klinik berkenaan.

Dalam video kedua berdurasi satu minit 54 saat itu seorang kakitangan klinik yang bertugas membuka pintu dengan menganggapnya sebagai pelanggan sebelumĀ  tiga suspek berbaju kemeja putih dan bertopi, berkopiah serta berbaju kemaja hitam serta seorang lagi suspek berbaju kemeja merah dengan senjata parang masuk ke klinik.

Selepas itu, mereka mengambil dompet, telefon bimbit serta komputer riba yang ada di atas meja kaunter klinik itu.

Kakitangan wanita itu yang kelihatan takut diarahkan suspek untuk menyerahkan segala barang berharga termasuk rantai emas tangan yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri.-MalaysiaGazette