Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media mengenai rampasan dadah jenis Cannabis dan Sintetik di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki kerana disyaki mengedar ganja di sekitar Lembah Klang dan Selangor dalam dua serbuan berasingan di Taman Batu Muda, di sini, pada Khamis lalu.

Dalam serbuan tersebut polis merampas ganja seberat 35.640 kg bernilai RM90,000.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menahan suspek pertama berusia 48 tahun di hadapan sebuah kedai dobi di taman perumahan itu pada jam 8.30 malam.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis berjaya merampas 10 ketulan mampat ganja seberat 9,940 gram (9.940kg) yang disimpan dalam raga motosikal yang ditunggangnya.

“Berdasarkan soal siasat dia, pada jam 9.25 malam, suspek pertama membawa pasukan polis ke sebuah rumah yang terletak di Taman Batu Muda sebelum menahan suspek kedua berusia 43 tahun disyaki rakan sindiket itu.

“Mereka kemudian membawa polis ke sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran hentian bas di taman perumahan sama sebelum pemeriksaan di dalam kereta itu berjaya menjumpai dadah ganja seberat 25,700 gram atau 25.7 kilogram di tempat duduk penumpang belakang,”katanya dalam sidang, di sini, hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua supek aktif dalam pengedaran ganja sejak tahun lalu.

Menurut Eng Lai, siasatan polis mendapati kedua-dua suspek mampu mendapat pulangan sehingga RM6,000 sebulan hasil penjualan dadah tersebut.

“Suspek menggunakan taktik modus operandi menyimpan dadah di dalam kenderaan bagi mengelak aktiviti mereka disyaki polis ketika rumah mereka diserbu selain menggunakan motosikal untuk menjual barang terlarang itu.

“Polis kini memperhebatkan siasatan mengenai sumber perolehan bekalan ganja itu dan dengan penahanan mereka polis percaya dapat menumpas sindiket pengedaran ganja aktif di Lembah Klang dan Selangor,” katanya.

Eng Lai berkata, suspek telah direman pada 25 Jun lalu hingga 1 Julai ini untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Tambah beliau, ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah THC.

Sementara itu, Eng Lai bekata, seramai 41 orang terdiri daripada 37 lelaki dan empat wanita berusia 19 hingga 55 tahun ditahan kerana terbabit dalam kes dadah menerusi beberapa siri operasi yang dilakukan polis pada 14 Jun hingga 26 Jun lalu.

“Daripada bilangan itu, dua lelaki berusia berusia 28 dan 41 tahun pula ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1952 kerana menjadi dalang mengedar dan membekalkan dadah.

“Polis turut merampas dadah heroin seberat 615.95 gram, ganja seberat 1.539 kilogram, methamphetamine 1.134 kg, ketamin 5.194 kilogram) dan pil eramin 5 (113 gram) yang kesemuanya bernilai RM438,713.16,” ujarnya. – MalaysiaGazette