Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU – Ketua Polis Johor,  Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran keras kepada individu dan kumpulan yang berniat menyertai perhimpunan haram Black Demokrasi yang dijangka esok di seluruh negara.

Tegasnya, polis tidak akan memberi amaran sebaliknya mana-mana individu yang terlibat  akan terus dikompaun.

Jelas beliau, pihaknya telah menggerakkan elemen keselamatan dan  memastikan tiada insiden melibatkan  Black Demokrasi di Johor.

“Kita telah  ambil langkah memantau dan mengambil tindakan kalau ada mana-mana individu atau kumpulan yang berkumpul kita akan terus ambil tindakan.

“Siapa yang berkumpul kita akan kompaun, ini zaman PKP nak berkumpul untuk apa? Duduk rumahlah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Ayob Khan, polis telah mengambil langkah-langkah pemantauan dan akan mengambil tindakan mana-mana kumpulan atau individu terlibat.

Sejak beberapa hari lalu, tular video berdurasi dua minit setengah yang mengajak rakyat di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak berkumpul esok sebagai tanda membantah keras kerajaan yang didakwa menindas rakyat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.

Dalam video berkenaan juga menyatakan, tujuan demokrasi berkenaan juga adalah untuk menjatuhkan kerajaan.

Selain itu, individu yang bertopeng seperti watak anonymous itu menggesa rakyat keluar beramai-ramai untuk menyertai operasi Black Demokrasi dengan memakai baju bewarna hitam.

Black Demokrasi dijangka akan dilakukan di Istana Negara, sekitar Lembah Klang, Masjid Putrajaya, Dataran Merdeka, istana negeri-negeri  dan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja setiap negeri.-MalaysiaGazette