Laluan di Pantai Lido menghala Skudai dikawal ketat polis Johor berikutan diadakan "Black Demokrasi" di seluruh pada hari ini.
JOHOR BAHRU – Polis Johor mengetatkan kawalan jalan raya di sekitar bandar raya ini dengan menutup beberapa laluan utama di berikutan penganjuran ‘Black  Democracy’ yang dijangka diadakan di seluruh negara pada hari ini jam 12 tengah hari.
Tinjauan Malaysia Gazette di laluan Jalan Pantai Lido menghala ke Skudai dan di hadapan pintu gerbang utama Istana Bukit Serene mendapati anggota polis juga ditempatkan di perkarangan istana.
Selain khemah khas turut didirikan berhampiran pintu masuk utama istana.
Laluan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor  (Persada ) yang sebelum ini boleh dilalui kenderaan turut tidak dibenarkan dan hanya individu yang mempunyai janji temu vaksin sahaja dibolehkan melalui jalan berkenaan.
Baru-baru ini tular sebuah video berdurasi 2 minit setengah yang mengajak rakyat di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak untuk berkumpul sebagai tanda membantah kerajaan yang didakwa menindas rakyat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.
Dalam video berkenaan juga menyatakan tujuan ‘Black Democracy’ berkenaan diadakan untuk menjatuhkan kerajaan masa kini.
Selain itu, individu yang berperwatakan “anonymous” juga mengajak rakyat keluar beramai-ramai untuk menyertai penganjuran ‘Black Democracy’ dengan memakai baju berwarna hitam.
‘Black Democracy’ dijangka diadakan di Istana Negara, sekitar Lembah Klang, Masjid Putrajaya,  Dataran Merdeka, istana-istana negeri dan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di setiap negeri.
Semalam Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran keras kepada individu mahupun kumpulan yang berniat menyertai ‘Black Democracy’ pada hari ini, akan dikenakan kompaun.
Jelas beliau, polis Johor telah menggerakkan elemen keselamatan dan  memastikan tiada insiden melibatkan ‘Black Democracy’ akan berlangsung di negeri ini. – Malaysiagazette