Viral video showing the Member of Parliament of Batu Pahat cum Deputy Speaker of Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon enjoying durian at a farm
Video viral yang tular sejak hujung Jun lalu memaparkan kelibat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkenduri durian bersama sekumpulan individu di sebuah kebun di Batu Pahat, Johor.

KUALA LUMPUR – “Saya mohon maaf di atas kekeliruan yang timbul apabila terdapat media yang menghubungi saya bagi bertanyakan mengenai video saya di kebun dan saya menjawab soalan tersebut tanpa menonton sendiri video pada awalnya.

“Setelah selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam, barulah saya ada kesempatan untuk analisa video yang terkait pada saya.”

Itu penjelasan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon seperti yang dilaporkan Awani berkenaan video tular beliau dijamu durian baru-baru ini.

Beliau mengakui setelah meneliti salah satu video yang tular semalam ia sememangnya  merupakan lawatan beliau ke kebun durian kampung yang diusahakan masyarakat setempat yang mana turut terkesan berikutan PKP.

Kebetulan ketika itu, katanya, terdapat lawatan kerja Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin ke Batu Pahat, oleh itu pihaknya menghadiahkan durian kepada rombongan menteri untuk dibawa pulang.

Artikel berkaitan: Polis siasat dakwaan wakil rakyat makan durian dalam kebun

Jelasnya lagi, selepas rombongan menteri pulang, beliau telah dibawa ke kebun salah seorang pengusaha pada sebelah petang bagi mendengar permasalahan yang dihadapi dan berbincang lanjut.

“Setiba saya di kebun, pengusaha kebun durian tersebut menghidangkannya kepada kami.

“Saya menjamah sedikit durian sambil berbincang dengan pengusaha kebun mengenai langkah-langkah bantuan yang boleh dihulurkan,” jelas Mohd Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat.

Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama sehingga kini, beliau sering menerima aduan daripada pekebun kecil termasuk pengusaha sayur dan buah-buahan yang mengalami kesukaran menjual hasil tanaman berikutan jualan yang merosot.

Video tular baru-baru ini menunjukkan wakil rakyat itu bersama lebih 10 orang berkumpul di dalam kebun sambil makan durian dan rata-rata mereka tidak memakai pelitup muka dan juga tidak menjaga penjarakan sosial.

Mohd Rashid turut menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama kepada polis susulan kejadian itu.

Pada Selasa, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah berkata, kertas siasatan sudah dibuka susulan satu laporan dibuat berkenaan video memaparkan aktiviti wakil rakyat itu sedang menikmati buah durian tular dalam media sosial. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kan senang cmtu mengaku jer x perlu nk malu awak bkn buat jenayah besar pun..sng pihak yg berkenaan nk ambil tindakan..kita manusia adakalanya terkhilaf tp jgn lah gunakan kuasa yg diberi semata² nk selamatkan diri..ingat ALLAH ITU MAHA MELIHAT LAGI MAHA MENGETAHUI.

Comments are closed.