Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan harga minyak masak 5 kilogram tidak akan melebihi RM30 sebotol.

Sehubungan itu, menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan bekerjasama dengan kementerian yang terlibat dalam program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah seperti yang diumum menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) baru-baru ini.

“Kementerian akan meneruskan dasar kawalan dan harga barang keperluan dan meningkatkan penguatkuasaan sedia ada yang ternyata berkesan seperti yang terbukti sepanjang PKP tanpa sebarang insiden terputusnya bekalan barang keperluan,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau terdahulu mengucapkan penghargaan di atas keprihatinan yang ditunjukkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk
membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup menerusi Pemulih.

Untuk rekod, pakej bantuan kali ini memberikan tumpuan kepada kepada tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.

Antaranya pengekalan harga runcit bagi petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) yang melibatkan subsidi melebihi
RM6 bilion setahun.

Tambah Alexander, KPDHEP juga menyokong Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil atau PUPUK dengan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan RM100 juta untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meningkatkan agenda digitalisasi negara.

“KPDNHEP sendiri telah lama menggerakkan program digitalisasi sama ada di peringkat Kementerian mahupun dalam sektor perdagangan pengedaran melalui pelbagai aplikasi seperti ez-Aduan, Price Catcher, My Sales Tracker, MyHarga, Spacedeal, Chatbot Sara, ReDI dan banyak lagi,” katanya lagi.

Secara keseluruhannya, beliau menyifatkan Pemulih seimbang dan bertepatan dengan situasi semasa serta dapat menjamin negara menang dalam memerangi pandemik Covid-19 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast