Tenaga Nasiona Berhad

KUALA LUMPUR – Kira-kira 9.1 juta pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) domestik dan bukan domestik di Semenanjung akan mendapat manfaat diskaun secara bersasar menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Menurut TNB, pemberian diskaun antara lima hingga 40 peratus akan dinikmati kira-kira 7.4 juta pengguna domestik manakala diskaun sebanyak lima peratus kepada pengguna-pengguna elektrik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah kategori tarif komersial, industri dan pertanian spesifik di bawah voltan rendah yang akan memberi manfaat kepada 1.6 juta pelanggan syarikat utiliti itu.

Katanya, diskaun sebanyak 10 peratus kepada pengguna elektrik dalam enam sektor perniagaan terpilih di bawah inisiatif PEMERKASA Plus pula melibatkan 11,800 pengguna.

“Enam sektor ini adalah pengendali hotel; agensi pengembaraan dan pelancongan; kompleks membeli-belah; pusat konvensyen; taman tema; dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

“Di bawah Pakej PEMULIH, kesemua enam sektor ini akan terus menerima 10 peratus diskaun sehingga 31 Disember 2021 seperti yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, selain diskaun di bawah Pakej PEMULIH, pengguna elektrik di Semenanjung akan terus menikmati rebat Pelepasan Kos Tidak Seimbang atau Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) sebanyak 2 sen/kWj dari bulan Julai hingga Disember 2021.

Jelasnya, untuk kedua-dua kategori pelanggan domestik dan PKS, pengiraan Diskaun Bil Elektrik PEMULIH adalah berdasarkan jumlah penggunaan bulanan dari 1 Julai hingga 30 September 2021.

“TNB sedang mengambil langkah yang perlu bagi memastikan pelaksanaan diskaun ini berjalan dengan lancar.

“Sehubungan itu, pelanggan akan melihat diskaun ini tertera dalam bil elektrik mulai bil bertarikh 15 Julai 2021. Bagi pelanggan yang menerima bil bertarikh antara 1–14 Julai 2021, diskaun bulan Julai 2021 akan dimasukkan ke dalam bil bulan Ogos 2021,” ujarnya.

Katanya lagi, pelanggan yang menerima bil sepanjang bulan Julai 2021 akan menikmati diskaun mengikut bilangan hari penggunaan dalam bulan Julai manakala, diskaun yang diberikan adalah selepas mengambil kira rebat ICPT.

Diskaun akan mula dinikmati sepenuhnya dalam bil bulan Ogos dan September 2021, jelasnya.

Sebagai contoh kata TNB, pelanggan yang menerima bil pada 11 Julai untuk jumlah penggunaan elektrik dari 12 Jun hingga 11 Julai, Diskaun Bil Elektrik PEMULIH akan diberikan ke atas jumlah penggunaan dari 1 higga 11 Julai 2021.

“Sekiranya jumlah penggunaan dalam 30 hari adalah 220 kWj, diskaun sebanyak 15 peratus akan digunakan selepas rebat ICPT diambilkira. Oleh kerana tarikh bil adalah antara 1 hingga 14 Julai 2021, amaun diskaun ini akan dimasukkan ke dalam bil Ogos 2021,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast