Nabil Ahmad Latpi.

KUALA LUMPUR – Pemain sayap PDRM FC, Nabil Ahmad Latpi mengakui semakin berpuas hati dengan minit permainan yang diperoleh selain percaya mampu dapat membantu pasukan untuk layak ke pentas Piala Malaysia musim ini.

Pemain berusia 29 tahun ini bekerja keras untuk terus mendapat tempat dalam pasukan apabila kurang menyerlah ketika bersama Kuala Lumpur pada musim lalu apabila hanya sempat beraksi untuk 23 minit sahaja dalam satu perlawanan.

Justeru, Nabil merasakan sudah tiba masa untuknya tidak lagi mensia-siakan peluang bagi mencapai prestasi di tahap terbaik bersama PDRM FC sambil meletakkan sasaran utama membawa pasukan ini layak bersaing di Piala Malaysia.

Kelibat pemain kelahiran Kedah ini semakin mendapat perhatian ketika dia berentap di saingan Liga Sosial bersama Ultimate FC pada tahun 2019 sebelum mendapat tawaran beraksi dengan Terengganu FC pada pertengahan musim yang sama.

“Saya sendiri tidak boleh nak menilai sejauh mana tahap perkembangan permainan saya tetapi, saya percaya saya mampu berusaha meningkatkan lagi kualiti permainan di padang.

“Sasaran utama saya adalah untuk bawa pasukan ini ke Piala Malaysia terlebih dahulu dan setakat ini, secara keseluruhan saya mengakui berpuas hati dengan minit permainan yang saya dapat bersama PDRM.

“Memang agak bergelut juga untuk bersaing merebut kesebelasan utama, tetapi kami di sini semuanya bersaing secara sihat dan doa saya adalah agar kita semua mampu mengharungi pandemik ini agar Liga Malaysia berterusan dengan lancar”, jelasnya.

Nabil setakat ini telah berjaya menjaringkan satu gol ketika menentang Sarawak United pada aksi kesembilan Liga Premier, April lalu.

Dalam pada itu, skuad PDRM telah selesai mengambil dos kedua vaksin pada 28 Jun (Isnin) lalu dan kini masih dalam tempoh rehat.

Berkongsi keadaannya ketika ini, Nabil masih lagi dalam fasa untuk pulih sepenuhnya selepas mengalami demam yang agak teruk.

“Hari pertama saya vaksin, semuanya dalam keadaan baik dan tidak ada tanda-tanda yang menyakitkan.

“Tetapi, memasuki hari kedua, saya mengalami demam yang sangat teruk dan sekarang hanya perlukan rehat yang cukup sahaja, tetapi saya bersyukur kami semua sudah divaksin selain berharap PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kali ini, kita semua tetap akan menjaga kesihatan diri”, tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast