KUALA LUMPUR – Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras telah melaksanakan 111 serbuan dan 649 tangkapan membabitkan rampasan barang bernilai RM43.89 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, tangkapan itu membabitkan 125 warga tempatan yang terdiri daripada 122 lelaki dan tiga wanita.
Selain itu, seramai 521 warga asing yang terdiri daripada 323 lelaki, 188 wanita serta 10 kanak-kanak turut ditahan PGA, katanya.
Tambah beliau, kesemua tangkapan warga asing membabitkan empat negara iaitu dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Sri Lanka.
“Pecahan nilai rampasan adalah melibatkan kenderaan berjumlah RM4.6 juta, rokok seludup bernilai RM10.4 juta, arak seludup dan ketum RM20.6 juta, dadah RM201,135.50, hidupan dan tumbuhan dilindungi RM40,000.
“Kita juga berjaya merampas bahan letupan bernilai RM1.4 juta, padi dan beras (RM2.6 juta), logam dan tembaga (RM3.1 juta) dan wang tunai serta lain-lain bernilai RM594,533.40,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Briged Tengah PGA, Cheras, hari ini.
Menurut Muhammad, kesemua tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Akta Imigresen 1963, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran dan akta berkaitan lain.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, siasatan mendapati warga tempatan yang dicekup dalam operasi oleh PGA itu berperanan sebagai transporter serta tekong darat yang mengambil dan menghantar Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke destinasi seperti yang telah ditetapkan sindiket.
“Mereka ini dipercayai menerima bayaran minumum RM400 bagi setiap trip dengan membawa PATI yang mendarat di pesisiran pantai perairan negara menggunakan kenderaan mereka.
“Kita percaya sindiket sering mengubah modus operandi bagi membawa PATI terutamanya diuruskan oleh dalang di negara jiran Indonesia dan menggunakan rangkaian di Malaysia bagi mengatur perjalanan, tempat selain mereka licik kerana sentiasa memantau keadaan kawalan sekeliling dan mengetahui pergerakan kita di sini,” katanya.
Beliau berkata, Klang merupakan antara lokasi panas pendaratan PATI disebabkan beberapa faktor seperti terdapatnya rumah apungan dan panduan masuk seperti rumah api, inap desa serta rumah individu yang boleh dijadikan transit sebelum menuju ke destinas masing-masing. – MalaysiaGazette