Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menunjukkan barang yang digunakan untuk menghisap dadah dalam satu kejayaan kes aktiviti pengedaran dadah ketika di sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 JULAI 2021.

PETALING JAYA – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan penahanan empat lelaki warga tempatan termasuk rampasan ganja seberat 6.2 kilogram menerusi dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dua suspek masing-masing berusia 32 dan 29 tahun itu dicekup sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ketika berada di parkir kenderaan sebuah pasar raya di Taman Maju Jaya kira-kira pukul 2.20 petang.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam kereta jenis Peugeot itu menemukan sebuah beg galas berwarna hitam di bahagian penumpang hadapan yang mengandungi dadah jenis ganja seberat satu kilogram (kg).

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 32 tahun itu terlibat dengan aktiviti pengedaran sejak setahun lepas dan juga merupakan seorang penagih ganja sejak tujuh tahun lalu.

“Manakala suspek kedua yang berusia 29 tahun berperanan sebagai orang tengah dalam mencari pembeli di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Suspek juga terlibat dengan penagihan dadah jenis ganja sejak empat tahun lalu,” katanya dalam satu sidang media di IPD Petaling Jaya hari ini.

Mohamad Fakhruddin berkata, hasil maklumat dari tangkapan di lokasi pertama, dua lagi lelaki warga tempatan berjaya dicekup menerusi serbuan di sebuah apartmen di Taman Pasir Permata, Kuala Lumpur kira-kira pukul 6.15 petang.

Jelas beliau, suspek ketiga dan keempat yang berusia 28 dan 32 tahun itu kesemuanya merupakan rakan sejenayah dalam melakukan aktiviti pengedaran dadah jenis ganja.

“Serbuan yang dijalankan di apartmen itu menemukan lapan ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja dianggarkan seberat 5.2 kg yang disorok di dalam dua bilik berlainan.

“Selain itu, polis turut merampas dua alat penimbang digital, papan pemotong, gunting, pemetik api, botol kaca serta sebuah kereta jenis Kia Forte dan motosikal jenis Yamaha LC,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhruddin berkata, sindiket yang aktif sejak setahun lalu itu dipercayai menggunakan modus operandi dengan membeli ketulan ganja mampat seberat satu kilogram setiap satu sebelum ia di proses ke dalam paket-paket kecil.

Tambahnya lagi, hasil ujian saringan air kencing mendapati keempat-empat suspek positif dadah jenis ganja dan kesemua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut.

“Semakan rekod lampau mendapati tiga daripada empat suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau antaranya berkait dengan dadah.

“Kita anggarkan nilai rampasan dadah menerusi kedua-dua serbuan itu berjumlah RM22,943 dan hasil analisa yang dibuat ia boleh diedarkan kepada lebih 6,200 penagih,” ujarya.

Mohamad Fakhruddin berkata, ketika ini polis sedang giat mengesan dua lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam sindiket tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette