Dr Annuar Shah Bali Mahomed

KUALA LUMPUR – Institusi bank mempunyai tanggungjawab bukan sahaja memberi dividen yang tinggi serta pinjaman bahkan mereka berkewajipan membantu pelanggan pada saat getir kesan pandemik Covid-19.

Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Annuar Shah Bali Mahomed berkata, ketika inilah bank perlu memihak kepada pelanggannya dengan memberikan moratorium tanpa mengenakan keuntungan terakru.

“Isu paling besar bukan isu dividen, isu yang paling besar adalah bagaimana kita hendak mengangkat beban rakyat itu. Pada ketika ini rakyat terbeban, kita nak angkat semula beban sementara rakyat kembali stabil dengan pemberian moratorium dan pengawalan harga barang.

“Bila angkat beban, kita bagi bantuan tunai, disebabkan beberapa perkara itu menyebabkan berlaku kesukaran bank untuk melaksanakan,” katanya semasa menjadi panel Skop MG secara langsung di Facebook MalaysiaGazette malam ini.

Annuar Shah juga berkata, pemberian bantuan seumpama pernah dilakukan sebuah bank di negara mirip dengan konsep moratorium dan tidak mustahil ia boleh dilaksanakan mana-mana bank ketika pandemik.

“Bank Islam pernah memberikan payment holiday di mana konsep lebih kurang sama dengan moratorium iaitu Pembiayaan Islamik Perumahan di mana pada November dan Disember dikecualikan dari segi bayaran dan dibawa ke depan.

“Jadi, tiada tambahan faedah dan keuntungan terakru dan ia pernah dilakukan Bank Islam lebih dari 10 tahun lalu. Perkara ini penting diberi perhatian oleh bank sendiri,” katanya.

Menurutnya, bank perlu berkorban sedikit daripada keuntungan mereka untuk memberikan moratorium tanpa mengenakan sebarang keuntungan terakru ketika peminjam sedang berdepan dengan masalah ekonomi yang meruncing.

“Bukan bank tidak untung, berkorban sebahagian keuntungan untuk rakyat. Akhirnya rakyat akan kembali kepada bank selepas moratorium habis.

“Bank ini juga ingin lebih ramai pelanggan untuk datang menyertai mereka, mengambil pinjaman atau meletakkan deposit dalam bank itu sendiri. Pada ketika ini bank perlu berperanan membantu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast