logo polis
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Satu keluarga terdiri daripada 16 orang ditahan kerana dipercayai membelasah dan mencederakan seorang lelaki yang juga ahli keluarga mereka sehingga maut.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Suptendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan daripada wad kecemasan Hospital Banting sekitar jam 10.15 malam semalam yang memaklumkan seorang pesakit telah meninggal dunia semasa dirawat.

Lelaki berusia awal 30-an itu berasal dari Ladang Baru Kelanang Banting, disyaki maut akibat dipukul.

Siasatan yang dijalankan mendapati simati dipukul oleh beberapa orang ahli keluarga sendiri yang terdiri daripada ibu, ayah, adik-beradik dan saudara mara terdekat.

Kejadian berlaku pada jam 6.30 petang semalam semasa mangsa pulang ke rumah keluarganya dalam keadaan mabuk.

Simati didakwa telah menganggu dan memukul beberapa ahli keluarganya, selain merosakkan kenderaan milik adiknya dengan memecahkan cermin kereta menggunakan batu-bata.

Rentetan daripada itu, Ahmad Ridhwan berkata, ahli-ahli keluarga yang berang dengan sikapnya simati bertindak membelasah mangsa beramai-ramai menggunakan kayu, kerusi dan batu.

Simati telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum dikejarkan ke hospital dengan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Ekoran kematian lelaki tersebut, polis telah menahan seramai 16 individu termasuk lapan lelaki dan lapan wanita pada jam 3 pagi di rumah mereka untuk membantu siasatan lanjut.

Polis turut merampas senjata kayu, batu dan kerusi yang dipercayai digunakan mereka untuk mencederakan simati.

Kesemua suspek berusia lingkungan 17 hingga 60 tahun kini ditahan untuk diambil keterangan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette