Mahkamah dan pejabat Pesuruhjaya Sumpah tidak dibenarkan beroperasi di kawasan PKPD.

KUALA LUMPUR – Mahkamah dan pejabat Pesuruhjaya Sumpah tidak dibenarkan beroperasi di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sebaliknya, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengoperasian bagi dua organisasi itu hanya dibenarkan sepanjang tempoh PKP Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

“Pengoperasian bagi mahkamah dan pejabat Pesuruhjaya Sumpah hanya dibenarkan di kawasan PKP Pelan Pemulihan Negara sahaja.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kapada media selepas mengadakan lawatan bagi memantau pelaksanaan proses vaksinasidi Pusat Pemberian Vaksin WTCKL, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2021.
Ismail Sabri Yaakob

“Ini selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil kira peranan pejabat Pesuruhjaya Sumpah dalam memberi sokongan terutama kepada sektor hartanah dan perbankan serta operasi melibatkan kontrak dan urus niaga.

“Mahkamah juga dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Fasa 1 kecuali di kawasan PKPD, bagi perbicaraan kes jenayah, manakala kes sivil termasuk kes tribunal dibenarkan beroperasi secara dalam talian termasuk di kawasan PKPD,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengenai PKPD di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur esok, Ismail Sabri mengingatkan rakyat agar mematuhi setiap SOP yang ditetapkan.

Kata beliau, pematuhan SOP perlu bagi membantu kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) melandaikan lengkuk Covid-19.

“Ini adalah tanggungjawab bersama. Marilah kita bersama-sama tanpa mengira latar belakang agama, bangsa mahupun fahaman politik berganding bahu memutuskan rantaian Covid-19 di seluruh negara.

Semalam, beliau mengumumkan pelaksanaan PKPD di 34 mukim di Selangor dan Kuala Lumpur berkuatkuasa Sabtu ini.

Pelaksanaan PKPD itu melibatkan lapan daerah iaitu Petaling, Hulu Langat, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor dan beberapa lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 hingga 16 Julai ini.

Mengenai pemantauan dan penguatkuasaan SOP Covid-19 di sektor perkilangan dan premis perniagaan, katanya, kerajaan akan mempertingkatkan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis berkenaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.

Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 97,561 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 20,781 orang.

Semalam, katanya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan sebanyak 2,719 pemeriksaan ke atas kilang, 15,981 premis perniagaan dan 94 asrama penempatan pekerja.

“Daripada jumlah itu, lima kilang dan 10 premis diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP.

“Sejak 25 Jun hingga semalam, 132,633 premis perniagaan, kilang dan asrama pekerja telah diperiksa. Sepanjang tempoh itu juga sebanyak 726 premis dikompaun, manakala 75 lagi diarahkan tutup,” katanya. – MalaysiaGazette