Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

PUTRAJAYA – Kertas cadangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura hanya dibentang dan dibincangkan semula dengan menteri berkaitan dari negara itu sebaik sahaja Kabinet memberi kelulusan mengenainya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu slot yang sesuai untuk membentangkan kertas kerja kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu.

“Setakat ini, HSR masih di peringkat Kementerian Pengangkutan, kita sedang menunggu slot daripada Perdana Menteri untuk kita bentangkan mengenai penilaian kita terhadap Permintaan Maklumat (RFI) yang telah dijalankan.

“Selepas Perdana Menteri diberikan taklimat, jika ia dipersetujui, baru kita bentangkan pula ke Kabinet akan datang,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat National Logistik Task Force (NLTF) Kementerian Pengangkutan, di sini.

Pada 1 Januari 2021, Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong mengumumkan projek HSR sepanjang 350 kilometer ditamatkan.

Ia susulan kegagalan kedua-dua negara mencapai kata sepakat berhubung perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu berakhir pada 31 Disember 2020.

Bagaimanapun pada 8 Mac 2023, Perdana Menteri dilaporkan berkata, projek HSR akan dihidupkan semula, namun kerajaan tidak akan membiayai pembinaannya.

Januari lalu, tujuh konsortium tempatan dan antarabangsa menyerahkan cadangan konsep bagi projek HSR KL-Singapura kepada MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast