Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun menyampaikan bantuan kepada Nor Rohayu Abu Bakar bersama anak-anaknya ketika lawatan di Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 02 JULAI 2021.

SEPANG – Dalam keadaan tidak menentu akibat Covid-19, bakul makanan menjadi harapan rakyat Malaysia untuk membantu melengkapkan keperluan asas harian mereka.

Demikian luah ibu tunggal berusia 54 tahun, Noraini Dollah.

Menurutnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan, hasil pendapatannya menjual makanan sejuk beku tidak seperti sebelumnya.

Noraini Dollah. Foto AFFAN FAUZI, 02 JULAI 2021.

Dengan ketiadaan sumber pendapatan lain, sudah tentu Noraini menganggap pemberian bakul makanan daripada kerajaan sebagai bantuan yang berharga.

“Memang saya mengharapkan bantuan, penjualan makanan sejuk beku pun tidak berapa jalan sekarang, tidak boleh keluar pula dalam PKP ini. Walaupun ada anak, masing-masing ada tanggungan sebab sudah ada keluarga masing-masing.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun menyampaikan bantuan kepada Noraini Dollah ketika lawatan di Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 02 JULAI 2021.

“Alhamdulillah, bakul makanan hari ini dapat membantu makanan saya dua beranak di rumah. Siapa tidak mengharapkan sumbangan makanan, semua mengharap bila keadaan macam ini semua terputus tidak ada boleh buat, jualan pun terhenti,” katanya yang telah kehilangan suami sejak 17 tahun lalu.

Dalam pada itu, Nor Rohayu Abu Bakar, 36, pula berharap bakul makanan daripada kerajaan khususnya akan dapat diberikan secara berkala.

Nor Rohayu Abu Bakar. Foto AFFAN FAUZI, 02 JULAI 2021.

Apatah lagi untuk keluarga sepertinya yang hanya bergantung harap dengan suami yang bekerja sebagai tukang rumah.

Dengan pendapatan RM700 hingga RM800 pada waktu ini, Nor Rohayu berkata, bantuan keperluan asas cukup bermakna.

“Pendapatan suami tidak tentu, sebelum PKP dalam RM900 sebulan sekarang memang tidak menentu, dalam RM700 hingga RM800 sahaja.

“Saya harap bakul prihatin dapat diteruskan bagi membantu yang terjejas masa PKP ini saya tengok ramai yang pendapatan kurang dan terjejas,” katanya.

Terdahulu, Nor Rohayu dan Noraini antara penerima bantuan Bakul Prihatin Wanita Perikatan Nasional yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Bermula 1 Julai 2021, dana RM300,000 Bantuan Bakul Makanan untuk setiap kawasan Parlimen mula diagihkan hari ini.

Program itu dipertingkat bagi memenuhi keperluan golongan terkesan dengan wabak Covid-19 susulan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Isnin lalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Yang dah bunuh diri tu seandainya diberi bantuan bakul kereta dan bakul rumah condo atau banglo sudah pasti tak jadi bunuh diri. Kalau tak percaya cuba try dulu okay.

Comments are closed.