Adnan Mat Cuepacs RM1,800 gaji minimum wage civil servants public sector
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengakui penjawat awam memang tidak terkesan daripada segi pendapatan berikutan penularan  Covid-19 yang melanda negara.

Bagaimanapun, daripada sudut isi rumah terdapat hampir 50 peratus pasangan tidak bekerja di sektor kerajaan dan turut terkesan dengan pandemik yang melanda negara ketika ini.

Lantaran itu, tidak salah jika CUEPACS membawa suara penjawat awam yang meminta supaya kerajaan melaksanakan moratorium bagi pembayaran pinjaman perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, penjawat awam turut terjejas apabila pasangan masing-masing tidak lagi boleh berniaga, dipotong gaji malah ada yang diberhentikan kerja.

Selain itu, kebanyakan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan melihat daripada kesan langsung kepada isi rumah dan bukannya individu semata-mata.

“Kebanyakan penjawat awam juga memohon pinjaman LPPSA dengan mengemukakan pendapatan bersama mereka dengan pasangan masing-masing bagi membolehkan pembiayaan diluluskan.

”Jika tidak, sudah tentu pembiayaan penjawat awam ini sukar mendapat kelulusan apatah lagi dengan harga kediaman yang mahal ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz yang mempersoalkan alasan permohonan CUEPACS yang mahu penangguhan pembayaran balik pinjaman perumahan oleh penjawat awam.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berpendapat, beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu keperluan untuk memberi bantuan kewangan kepada orang yang menerima pendapatan tetap.

Sebaliknya bantuan atau apa-apa inisiatif wajar diberikan secara bersasar kepada mereka yang terkesan sahaja.

”CUEPACS berpendapat konteks yang cuba disampaikan oleh bekas menteri tersebut tidak begitu tepat kerana menyentuh penjawat awam sebagai individu dan bukannya sebagai isi rumah,” ujarnya.

Adnan berkata, sekiranya LPPSA membenarkan penangguhan bayaran pinjaman dilakukan, penjawat awam terbabit akan mempunyai lebihan pendapatan yang boleh digunakan untuk merancang kembali kewangan serta membantu keluarga yang dalam kesusahan.

Pelaksanaan moratorium pinjaman bank dan pengeluaran akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan oleh kerajaan tidak menetapkan syarat.

Walaupun ada pihak yang tidak terjejas dari segi pendapatan, mereka turut dibenarkan membuat pengeluaran KWSP serta memohon moratorium.

Jelas beliau, pelaksanaan inisiatif tersebut juga bukanlah mandatori kerana hanya mereka yang mahukannya sahaja boleh memohon dan mereka yang tidak mahu kerana tidak terjejas tiada masalah untuk tidak memohon.

”Kerajaan melaksanakan inisiatif ini kerana mendengar rintihan daripada golongan M40 dan T20 yang turut mengalami peningkatan tanggungan kerana mereka juga membantu ahli keluarga atau saudara yang terjejas akibat Covid-19. Sebab itulah kerajaan tidak menetapkan apa-apa syarat dalam isu moratorium dan pengeluaran KWSP.

”Jadi, tiada salahnya untuk penjawat awam turut sama mendapat moratorium pinjaman LPPSA kerana secara isi rumahnya mereka turut terkesan,” katanya.

Adnan turut menyifatkan kenyataan bekas menteri itu yang mendakwa penjawat awam tidak perlu dibantu kerana masih mempunyai pendapatan hasil daripada wang pencen juga menunjukkan Rafidah tidak memahami masalah sebenar rakyat biasa apabila sudah berjaya menikmati hasil daripada kerjaya politik.

”Walaupun hanya menerima pencen, jumlah wang di dalam akaun bank bekas menteri tersebut tidak boleh disamakan dengan rakyat biasa. Simpanan dalam bank beliau mungkin tidak perlu diusik seperti dialami oleh pesara kerajaan lain yang mungkin langsung tiada wang simpanan kerana masih mempunyai anak sedang belajar.

”Jika semua pesara kerajaan seperti bekas menteri tersebut, adalah wajar kerajaan tidak perlu lagi memberi apa-apa bantuan. Bagaimanapun adakah semua nasib pesara kerajaan sama seperti bekas menteri tersebut?,” tambah Adnan. – MalaysiaGazette