Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil antara 1,530 mata dan 1,540 mata minggu depan.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata, selain perkembangan mengenai Covid-19, pelabur akan memantau mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang akan datang, dijadualkan akan diadakan pada 8 Julai.

“Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan OPR semasa pada 1.75 peratus.

“Kenaikan kadar pada 2021 adalah terlalu awal,” katanya kepada Bernama, menyatakan bahawa negara masih dalam proses pemulihan dengan kes koronavirus semasa terus melebihi 5,000 kes sehari.

“Oleh itu, kadar faedah semasa dianggap sesuai pada masa ini untuk menyokong ekonomi,” katanya.

OPR yang lebih tinggi pada 2022 adalah lebih wajar apabila majoriti penduduk di negara ini telah divaksinasi sepenuhnya dan sekatan untuk aktiviti ekonomi telah berkurangan, katanya.

“Kami menjangka sasaran 80 peratus penduduk Malaysia menerima vaksin COVID-19 menjelang akhir tahun ini dapat dicapai. Apabila matlamat ini dicapai, pembukaan semula sektor sosial dan ekonomi sepenuhnya adalah sesuatu yang boleh dijangkakan. Kami (menjangka) pembukaan semula ekonomi akan disertai dengan kecenderungan untuk berbelanja,” kata Adam.

Pada minggu baru berakhir, pasaran ekuiti kebanyakannya rendah, berikutan lanjutan sekatan kawalan pergerakan dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk sebahagian besar mukim di Selangor dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur.

Data eksport terkini Malaysia bagi Mei 2021, yang naik sebanyak 47.3 peratus tahun ke tahun kepada RM92.31 bilion, gagal meningkatkan sentimen pasaran.

Pada Isnin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion, termasuk suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion untuk membantu rakyat.

FBM KLCI merosot 26.33 mata kepada 1,533.35 daripada 1,559.68 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 173.49 mata kepada 11,160.91, Indeks FBMT 100 berkurangan 171.68 mata kepada 10,873.42 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 209.65 mata kepada 12,176.11.

FBM ACE merosot 10.59 mata kepada 7,211.21 dan FBM 70 susut 169.20 mata kepada 14,450.33.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 152.26 mata kepada 15,127.45, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.05 mata kepada 186.93 manakala Indeks Perladangan merosot 106.58 mata kepada 6,415.82.

Indeks Tenaga berkurangan 64.10 mata kepada 801.42, Indeks Penjagaan Kesihatan susut 99.62 mata kepada 2,841.55 dan Indeks Teknologi naik 0.39 mata kepada 79.34.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 26.86 bilion unit bernilai RM14.05 bilion daripada 27.78 bilion unit bernilai RM14.25 bilion dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 17.73 bilion saham bernilai RM11.74 bilion daripada 16.29 bilion saham bernilai RM11.73 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 857.61 juta unit bernilai RM84.50 juta daripada 1.48 bilion unit bernilai RM154.96 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran Ace susut kepada 7.36 bilion saham bernilai RM2.22 bilion daripada 10.0 bilion saham bernilai RM2.35 bilion minggu lepas. – MalaysiaGazette