Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mengikut kes harian untuk seluruh negara tidak berubah sejak semalam iaitu pada paras 1.07.

Data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyaksikan Pahang menunjukkan perununan kadar kebolehjangkitan kepada 1.24 berbanding 1.27, pada Jumaat.

“Berdasarkan data terkini pada 3 Julai 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.07. Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Pahang (nilai RT 1.24).

“Manakala negeri-negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.16), Melaka (1.12), Selangor (1.08), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.04), Pulau Pinang (1.02), dan Sabah (1.01),” kata Noor Hisham.

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Dalam pada itu, sejumlah 17 kluster Covid-19 dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Menurut Noor Hisham, 11 daripada kluster itu melibatkan kluster tempat kerja, lima kluster komuniti dan satu kluster berisiko tinggi.

“Terdapat lebih 869 kluster yang masih aktif dan jumlah kluster yang ada ketika ini adalah sebanyak 2,918 kluster,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kluster-kluster itu adalah Kluster Jalan Wira Lapan (Johor) dengan 12 kes, Kluster Industri Parit Jamil (Johor) dengan 127 kes, Kluster Industri Parit Hulu (Johor) dengan 40 kes, Kluster Jalan Perindustrian Agas 11 (Johor) dengan 104 kes, Kluster Kilometer 22 Jalan Gambang (Pahang) dengan 11 kes, Kluster Industri Bypass Gebeng (Pahang) dengan 52 kes, dan Kluster Industri Jalan Bangi Lama (Selangor) dengan 79 kes.

Empat lagi kluster tempat kerja adalah Kluster Pengkalan Batu (Kelantan) dengan 9 kes, Kluster Lorong Sungai Tiram (Pulau Pinang) dengan 25 kes, Kluster Bahtera Barat (Sabah) dengan 18 kes, dan Kluster 35 Bintulu (Sarawak) dengan 21 kes.

Kluster Komuniti adalah Kluster Sungai Pelepak (Sarawak) dengan 26 kes, Kluster Sungai Entajum (Sarawak) dengan 41 kes, Kluster Kampung Jeram Perdah (Kelantan) dengan 8 kes, Kluster Lorong Empat Sekinchan (Selangor) dengan 41 kes, dan Kluster Gong Pasir (Terengganu) dengan 29 kes.

Kluster Kumpulan Berisiko Tinggi adalah Kluster Persiaran Kempas Jernih di Johor dengan 14 kes. – MalaysiaGazette