KUALA LUMPUR – Sekolah-sekolah di lima negeri yang beralih kepada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 5 Julai ini dibenar menjalankan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka tetapi terhad kepada murid kelas peperiksaan sahaja.

Negeri-negeri tersebut ialah Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga memberi kebenaran pergerakan rentas negeri dan daerah bagi guru dan murid kelas peperiksaan yang terlibat sekiranya sekolah dibuka, kata Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, KPM memaklumkan bahawa Takwim Persekolahan KPM tahun 2021 adalah kekal seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Pendidikan dalam sidang media pada 6 Jun 2021.

Ini bermakna, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi murid kelas peperiksaan di negeri Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan terus dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga cuti pertengahan penggal yang akan bermula pada 16 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan A dan 17 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan B.

Pemakluman lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi persekolahan penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan A dan 26 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan B akan dibuat oleh KPM sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan tersebut bermula. – MalaysiaGazette