Murid-murid perlu dapat makanan berkhasiat

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi pengecualian sewaan kantin dan premis/ruang tersebut bagi tempoh 6 bulan mulai Julai 2021 sehingga Disember 2021.

Selain daripada itu, KPM juga akan memberi penyambungan kontrak sewaan kantin dan premis/ruang (kedai buku/koperasi/kedai dobi/vending machine) di sekolah bawah KPM secara automatik untuk tempoh satu tahun apabila tamat tempoh kontrak asal.

”KPM prihatin dengan kesukaran yang dihadapi oleh penyedia perkhidmatan, khususnya kontraktorperkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) dan perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB) di institusi bawah KPM yang terjejas berikutan penutupan institusi tersebut kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja perkhidmatan KBK kerana pembayaran kepada kontraktor akan dibuat sepenuhnya sebagaimana yang dinyatakan dalam kontrak.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, bagi perkhidmatan BMB pula, kementerian akan melanjutkan kontrak perkhidmatan kepada kontraktor terlibat dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP.

KPM yakin inisiatif ini dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi bawahnya serta pekerja terlibat yang terkesan akibat pandemik Covid-19, ujarnya yang sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik. – MalaysiaGazette