Pegawai Penyelidikan Penyu Fisheries Research Institute (FRI) Rantau Abang, Terengganu, Nazuki Sulong
Nazari Sulong menunjukkan penyu yang terdapat di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI).

KUALA LUMPUR – Sebanyak 553 ekor penyu ditemui mati di antara tahun 2015 hingga tahun lalu di tujuh negeri dengan kematian tertinggi dicatatkan pada 2019 membabitkan 144 ekor.

Pegawai Penyelidikan Penyu, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Terengganu, Nazuki Sulong berkata, kebanyakan penyu yang dijumpai mati terdampar lebih 80 peratus daripadanya adalah penyu betina.

“Ini kerana di antara bulan April hingga Oktober setiap tahun merupakan musim bertelur dan kebanyakan penyu betina akan berada di sekitar perairan laut,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette baru-baru ini.

Menurut Nazuki, berdasarkan rekod kematian penyu dalam tempoh enam tahun (2015-2020), negeri Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi membabitkan 337 ekor penyu ditemui mati manakala Pahang dan Melaka masing-masing merekodkan sebanyak 56 ekor.

Sementara Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 51 ekor kematian penyu dalam tempoh masa sama diikuti negeri Johor (27 ekor), Perak (13 ekor) dan Negeri Sembilan (13 ekor).

Jelas Nazuki, daripada jumlah tersebut, sebanyak 440 kematian penyu adalah dari spesies agar, karah (105 ekor) dan lipas (7 ekor).

Tambah Nazuki, Jabatan Perikanan Malaysia bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa menjalankan tugas rondaan di sepanjang perairan negara bagi memastikan tiada pencerobohan bot asing yang melakukan aktiviti menangkap penyu.

“Tindakan penguatkuasaan juga dijalankan ke atas penggunaan peralatan perikanan seperti pukat tunda dan pukat pari yang boleh memerangkap dan menyebabkan kematian penyu ini,” ujarnya.

Sementara itu ketika ditanya sama ada kes kecurian telur penyu menunjukkan penurunan berikutan sekatan perjalanan antara negeri yang dikuatkuasa, Nazuki berkata, kes kecurian sememangnya akan berlaku sekiranya kawasan tersebut tidak diawasi oleh renjer yang bertugas.

“Kes kecurian telur penyu ini boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa jika tidak tidak diawasi dengan sempurna sama ada di kawasan pendaratan mahu pun hatcheri penyu.

“Bagaimanapun trend mencuri telur penyu itu boleh berlaku sekiranya renjer yang bertugas tidak cukup bilangan, tidak kira sama ada ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau pun sebelum PKP.

“Sebagai contoh kes yang pernah berlaku di Cherating, Pahang yang mana telur penyu dicuri akibat kekurangan renjer yang biasanya seramai empat orang tetapi dikurangkan kepada dua orang sahaja.

“Satu lagi kes berlaku di pantai Ma’Daerah, Kerteh, Terengganu apabila renjer yang sepatutnya memantau kawasan pendaratan tidak menjalankan tugas sepenuh masa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast