KUALA LUMPUR – Belum ada lagi bantuan khas kewangan bagi kesan mudarat akibat vaksin Covid-19 digunakan setakat ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, setakat ini 18.6 respon kendiri daripada 1,000 dos suntikan vaksin Covid-19 mengalami kesan sampingan ringan.
Katanya, antara kesan sampingan ringan itu adalah seperti sakit di tempat suntikan dan sakit kepala yang tidak serius.
“Sebanyak 0.07 daripada 1,000 kes diklasifikasikan sebagai serius dan memerlukan rawatan di hospital.
“Kebanyakan mereka hanya masuk ke hospital untuk menerima rawatan dan pemantauan doktor jangka masa pendek.
“Setakat ini masih belum ada penerima bantuan kewangan khas ekoran kesan mudarat vaksin Covid-19,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) secara hibrid, hari ini.
Hadir sama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk bantuan khas kewangan bagi kesan mudarat vaksin Covid-19 untuk rakyat tempatan dan warga asing.
Ia membabitkan dua kategori bantuan iaitu RM50,000 bagi penerima yang mengalami kesan sampingan serius dan memerlukan rawatan berpanjangan di hospital dan RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan oleh vaksin Covid-19.
Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memberi tumpuan kepada penularan varian baharu yang lebih cepat merebak.
Jelasnya, penjujukan genom akan dilaksanakan khususnya di kawasan yang merekodkan kadar kes positif dan kematian yang tinggi.
“Sehingga kini 584 kes positif Covid-19 disebabkan pelbagai varian direkodkan di Malaysia dan pemantauan lanjut akan terus dijalankan KKM,” tambahnya. – MalaysiaGazette