Pengurus Besar Econsave Selatan,Mas Imran Adam menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pekerja asing di Sungai Rengit di sini

KOTA TINGGI – Pasar raya, Econsave, menyalurkan bantuan kepada 21 pekerja warga Indonesia di Sungai Rengit, di sini, yang terputus bekalan makanan akibat terkesan daripada penularan Covid-19.

Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam, pihaknya sentiasa berusaha membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang mereka.

“Apabila menerima maklumat terdapat 21 pekerja Indonesia dan Bangladesh yang terputus bekalan makanan akibat tiada duit untuk membeli barangan kerana sudah lama tidak bekerja akibat projek dihentikan, kami terus ke sini datang membantu.

“Kita menyampaikan barangan keperluan berjumlah RM500 kepada mereka. Semoga sumbangan ini dapat meringankan bebanan mereka,” katanya selepas menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada 21 orang pekerja asing di Sungai Rengit di sini.

Sumbangan barangan keperluan itu adalah beras, minyak, bawang, ayam, sayur dan kentang.

Tambah beliau, sumbangan tersebut diharap sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kepada penerimanya.

Sementara itu, menurut Mas Imran berkata, sejak penularan Covid-19 setahun yang lalu, lebih 1,000 individu telah menerima barangan keperluan harian daripada pasar raya berkenaan.

Tambah beliau, pihaknya juga telah membantu lebih 200 individu yang kehilangan pekerjaan dengan mengambil mereka bekerja dengan Econsave. – Malaysiagazette