Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad.

JOHOR BAHRU – Semua wakil rakyat, kerajaan atau pembangkang, diminta tidak menjadikan persidangan Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal dibuka sebagai gelanggang berbalah atau tempat menunjukkan siapa ‘hero’.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, pembukaan semula DUN perlu digunakan sebaik-baiknya dalam membincangkan kaedah serta membantu mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang menekan rakyat.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menyantuni masyarakat, khususnya di kawasan yang diwakili masing-masing.

“Rakyat sudah muak dan jijik dengan polemik politik berpanjangan yang dipersembahkan, malah mereka semakin tertekan serta dalam keperitan demi usaha menyara keluarga dan meneruskan kehidupan.

“Justeru, janganlah kita asyik menuding jari, melemparkan tohmahan serta mencaci dan gigih mencari kesalahan orang lain akibat perebutan kuasa demi kepentingan diri dan kelompok tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut meletakkan harapan tinggi agar semua wakil rakyat dapat menjadikan sidang Parlimen dan DUN sebagai penyelamat ekonomi negeri dan rakyat.

“Dalam situasi negara sedang menghadapi pelbagai isu termasuk rakyat sengsara, kehilangan kerja adalah lebih baik kita berhenti bercakaran dan tolak kepentingan agenda politik,”katanya.

Mohd. Izhar yang juga merupakan ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, wakil rakyat perlu memberi tumpuan dan bersama-sama membantu rakyat dan negara yang kini menghadapi pelbagai masalah. – Malaysiagazette