Suasana asrama pekerja asing pada Operasi Bersepadu Pematuhan PKP di sekitar Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia mengakui isu perburuhan menjadi amat kompleks berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lepas.

Namun, kementerian itu akan terus mengambil pelbagai inisiatif termasuk memperketatkan penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kementerian itu juga akan memastikan akta tersebut dapat dikuatkuasakan seiring dengan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 untuk meningkatkan jumlah sabitan berkaitan isu buruh paksa.

”Dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan pekerja terbela, perlindungan sosial kepada pekerja domestik diwujudkan. Para majikan yang menggajikan pekerja domestik adalah wajib untuk mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bermula pertengahan tahun 2021.

”Kementerian juga akan memperhalusi aspek sama ada pekerja domestik perlu dilindungi di bawah Akta Kerja 1955,” katanya yang maklum dan memandang serius isu-isu pemerdagangan manusia baru-baru ini yang meletakkan Malaysia pada Tier 3.

Saravanan berkata, cabaran dalam menangani isu perburuhan khususnya yang melibatkan pekerja warga asing akan terus diberikan perhatian oleh kementerian, selain melaksanakan pelbagai penambahbaikan secara berterusan kepada inisiatif sedia ada.

Selain itu, kementerian akan mengkaji semula isu berkaitan kos yang dikenakan oleh agensi pekerjaan swasta sekiranya terdapat kos-kos tersembunyi yang boleh membebankan pekerja mahupun majikan sehingga menjurus kepada elemen eksploitasi dan perhambaan hutang.

Tambahnya, kementerian itu akan menyemak semula memorandum persefahaman yang telah dan akan ditandatangani dengan negara-negara sumber khususnya bagi memperkasakan elemen perlindungan hak golongan pekerja dan dalam masa yang sama, tidak membebankan para majikan.

Dalam pada itu, aplikasi mobil Working for Workers (WFW) yang dibangunkan sejak bulan Mei 2021 merupakan satu platform untuk para pekerja memfailkan aduan secara terus kepada 80 Pejabat Tenaga Kerja di seluruh negara.

Sehingga 4 Julai 2021, sejumlah 4,636 aduan telah diterima yang mana 3,502 aduan telah disiasat dan diambil tindakan.

Maklumat daripada aduan yang diterima ini juga telah membantu pihak penguatkuasa kementerian untuk menyiasat dakwaan kes buruh paksa.

Tambah beliau, Kementerian Sumber Manusia juga berkolaborasi dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi membangunkan satu Pelan Tindakan Nasional mengenai buruh paksa dan buruh kanak-kanak yang dijangka dimuktamadkan pada suku keempat tahun
ini.

Malah, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Pemerdagangan Buruh, kementerian ini akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak-pihak berkepentingan lain dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang khususnya buruh paksa, ujar Saravanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast