Sanches menjadi buruan utama Liverpool selepas menjadi pemain penting kepada pasukan Lille melakukan kebangkitan luar biasa menjulang Gelaran Ligue 1 Perancis musim lalu.

LONDON- Liverpool dilaporkan mahu melamar bintang muda Lille, Renato Sanches selepas kelab Ligue 1 Perancis itu bersedia untuk menjual pemain itu musim ini.

The Kops kendalian Jurgen Klopp dikatakan telah ‘jatuh hati’ dengan bakat pemain berusia 23 tahun itu.

Sanches telah ‘menghidupkan’ semula kariernya di Perancis menerusi Lille sejurus meninggalkan Bayern Muncih pada tahun 2019 selepas mengharungi musim pinjaman bersama Swansea pada kempen 2017/18 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sanches telah memainkan peranan penting dalam kelab Lille sehingga kelab itu membuat kebangkitan luar biasa dari zon penyingkiran dan menjulang gelaran Ligue 1 Perancis musim 2020/21.

Namun sumber dalam kelab itu mendakwa kini ia bersedia menjual pemain itu secara tunai.

Kelab EPL, Liverpool dilaporkan kelab tunggal yang mahu membuat lamaran terhadap pemain itu.

Bintang tengah Portugal itu telah diperhatikan secara rapat oleh Klopp yang mahu menguatkan jentera tengah pasukannya selepas Georginio Wijnaldum meninggalkan Anfield dan menyertai pasukan gergasi Perancis, Paris Saint Germain Jun lalu.

Sejak saat itu, Liverpool di ambang dilema selepas buntu dalam mencari pengganti sesuai untuk kekosongan Wijnaldum sebelum Sanches masuk dalam radar mereka.

Selain Sanches, Liverpool juga dikaitkan dengan pemain Monchenggladbach Florian Neuhaus dan bintang Brighton Yves Bissouma.

Bagaimanapun kesediaan Liverpool untuk melamar Sanches kini diancam oleh saingan dari rakan seteru EPL, Arsenal dengan Mikel Arteta dilaporkan bersedia menyertai perang bidaan untuk merembat khidmat pemain prolifik itu.-MalaysiaGazette