Johor perlu memasuki fasa 2 PPN

JOHOR BAHRU – Perikatan Harapan (PH) Johor meminta kerajaan mempertimbangkan agar negeri itu dimasukkan dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi membolehkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi.

Menurut satu kenyataan, tempoh lockdown yang terlalu lama itu hanya akan mendorong kepada krisis kesihatan mental yang lebih parah, termasuk risiko peningkatan kemalangan nyawa (bunuh diri).

“PH Johor mendesak Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan supaya Johor memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) agar lebih banyak sektor ekonomi boleh dibuka untuk beroperasi. Berdasarkan laporan sehingga 3 Julai lalu, Johor mencatatkan nilai R pada kadar 0.92 – negeri keempat paling rendah di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama itu diwakili Timbalan Pengerusi Parti Amanah Johor Negaram, Dzulkefly Ahmad; Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse dan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.

Semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat tindakan kerajaan mengurung rakyat tidak lagi relevan selain perlu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP).

Tunku Ismail turut mengarahkan seluruh pentadbiran kerajaan negeri Johor agar dapat mempercepatkan inisiatif memerangi wabak Covid-19 di negeri itu.

Katanya, sehingga kini, statistik COVID-19 masih menunjukkan jumlah kes harian yang tinggi dan rakyat sudah dikurung hampir dua bulan, selain baginda turut menzahirkan rasa bimbang apabila rakyat kini mengalami masalah kesihatan mental dan fizikal yang teruk.

Menurut kenyataan itu, langkah tersebut juga merupakan kawalan dan jalan keluar kepada perlaksanaan lockdown yang telah memberi kesan risiko negatif keatas rakyat.

Sementara itu, PH Johor turut menggesa kerajaan negeri Johor segera melaksanakan inisiatif tambahan seperti mana yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0.

Katanya, pakej dengan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi membeli vaksin akan memboelhkan Johor mencapai Imuniti Kelompok pada kadar segera. – Malaysiagazette