Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo menyampaikan sumbangan barang keperluan asas kepada 30 keluarga ketika di PPR Sentul Murni, Bandar Baru Sentul. Foto MOHD ADZLAN, 05 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – seramai 30 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sentul Murni, Bandar Baru Sentul, di sini, menerima bantuan bekalan makanan daripada polis kontinjen Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yong Lei Choo berkata, antara 13 barangan yang diterima penduduk yang kehilangan pekerjaan, warga emas dan ibu tunggal ialah beras seberat 10 kilogram.

“Semua ibu pejabat polis daerah di kontinjen KL dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) mengenalpasti individu berkenaan yang memerlukan bantuan barang keperluan asas.

“Setakat ini, IPD Brickfiels, Cheras, Dang Wangi, Sentul dan Wangsa Maju sudah memulakan inisiatif ini lebih awal seperti yang dimulakan oleh kontinjen kami, walaupun bantuan tak sebesar mana, tapi yakin elak penduduk kelaparan walaupun sehari,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya telah menjalin kerjasama dengan Persatuan Kebajikan Polis (Perkep) untuk membantu masyarakat mengharungi kehidupan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan.

Katanya, Perkep juga akan terus mengenalpasti masyarakat yang memerlukan bantuan bekalan makanan selepas ini.

Sementara itu, Lei Choo memberitahu, polis KL juga akan menyediakan bimbingan kaunseling kepada masyarakat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 secara fizikal dan mental. -MalaysiaGazette